Berakhirnya Sebuah Penantian

PONTIAN, 7 Mac – Kesulitan nelayan tradisional untuk mendaratkan bot mereka di Jeti Sungai Durian, di sini, berakhir apabila sebuah jeti baharu akan dibina.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina jeti baharu akan melegakan ratusan nelayan yang menggunakannya sebagai pusat pengumpulan dan penangkapan ikan.

“Saya lihat jeti di sini agak uzur dan perlu dibangunkan semula bagi memberikan keselesaan kepada nelayan untuk menjalankan aktiviti seharian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Jeti Sungai Durian, Permas sempena lawatan kerja ke kawasan Parlimen Tanjung Piai, di sini, pada Ahad.

Peruntukan yang disediakan itu turut disokong Kerajaan Pusat dengan tambahan RM100,000, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi membina jeti tersebut ialah RM600,000.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, Jeti Sungai Durian turut menjadi tumpuan kaki pancing memandangkan terdapat lubuk kerapu berhampiran jeti berkenaan.

“Lubuk kerapu menjadi tarikan kaki pancing dari merata tempat ke Kukup. Mereka akan menyewa bot nelayan tempatan di Jeti Sungai Durian untuk ke lubuk kerapu.

“Jadi, nelayan dapat mencari pendapatan tambahan dengan kehadiran kaki pancing di jeti mereka,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya jeti berkenaan dibina baharu memandangkan keadaannya yang sudah uzur selain tidak sesuai dijadikan jeti kepada pelancong dan kaki pancing.

“Dari cerita yang disampaikan nelayan tempatan, Jeti Sungai Durian sudah berusia ratusan tahun.

“Tidak mustahil jeti ini menjadi antara lubuk mata pencarian yang terpenting bagi nelayan tradisional dari beberapa buah kampung di Serkat dan Permas,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, kemudahan tambahan lain seperti balai juga perlu dibina bagi menarik kaki pancing ke Jeti Sungai Durian untuk memancing di kawasan perairan Kukup.

Jeti Sungai Durian lubuk kerapu

Terletak tidak jauh dari Pekan Kukup, Jeti Sungai Durian merupakan lokasi memancing yang cukup unik kerana masih diliputi hutan paya bakau.

Malah, kawasan yang mempunyai sebuah jeti nelayan itu juga merupakan lubuk kerapu.

Nelayan, Abd Rahman Abd Ghani, 66, berkata, penduduk tempatan terutamanya dari Serkat , sering menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat memancing.

“Kira-kira 60 bot nelayan kecil berlabuh di Jeti Sungai Durian. Ada juga nelayan yang menyediakan perkhidmatan bot untuk kaki pancing ke lubuk kerapu.

“Sekiranya kawasan di sini dibangunkan dan dikomersialkan sebagai lokasi memancing, ramai pelancong tempatan dan luar akan berkunjung, sekali gus meningkatkan peluang ekonomi nelayan,” katanya.

Selain menjadi lokasi penting pemancing, dia berkata, jeti berkenaan turut menjadi lokasi untuk orang ramai beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

“Pokok- pokok bakau yang belum terusik, menyebabkan kawasan di sini menjadi habitat kepada haiwan dilindungi seperti monyet dan beberapa spesies burung.

“Orang ramai juga boleh melihat Pulau Kukup dan beberapa pulau kecil yang terletak di negara jiran Indonesia dari jeti, berkenaan,” katanya.

Justeru, usaha kerajaan negeri untuk membina baharu Jeti Sungai Durian disambut baik nelayan yang sudah lama menunggu khabar gembira ini.

Nelayan lain, Nordin, Makasar, 53, berkata, dia sememangnya menantikan khabar gembira tentang pembinaan jeti baharu itu.

Katanya, pembinaan jeti baharu amat penting bagi memastikan pekerjaan nelayan di kawasan berkenaan berterusan hingga ke generasi akan datang.

“Bila ada jeti baharu, mudah untuk kami turun ke laut dan orang muda juga akan berminat untuk ke laut bagi mencari rezeki, dan meneruskan pekerjaan ini,” katanya. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial