BERI BELIA KEMAHIRAN PERCUMA

image

KOTA TINGGI – Seramai 20 belia dalam daerah ini diberi kemahiran secara percuma melalui kursus baik pulih pendingin hawa yang berlangsung di Putra Leaderships Institute, dekat sini.

Pengerusi Belia India Kota Tinggi, B Subramaniam berkata, program anjuran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dengan kerjasama persatuan tersebut disertai golongan belia India dan Melayu yang kebanyakannya tidak bekerja.

Menurutnya, kursus enam hari itu dikendalikan tenaga pengajar daripada River Bank Academy.

“Tujuan utama program adalah membantu belia daerah ini memiliki kemahiran tambahan, sekali gus mereka dapat memanfaatkannya untuk menjana pendapatan.

“Ini merupakan cara kita menolong belia yang tidak mempunyai kelulusan dalam pendidikan agar mereka dapat mencari peluang kerjaya melalui kemahiran diperoleh daripada kursus tersebut.

“Malah dengan bermodalkan kemahiran yang ada, sekiranya bijak mereka juga boleh membina perniagaan sendiri. Kita mahu belia daerah ini turut sama melakukan transformasi diri seiring pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan sijil penghargaan daripada RTC dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kepada para peserta disempurnakan wakil Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mesran Tukiman.

Hadir sama, Pengarah RTC Johor, Dr Mohd Azlan Ab Jalil dan Pengurus Program River Bank Academy, Devandran.

Subramaniam menambah, kesemua peserta berusia 18 tahun ke atas itu menjalani 100 peratus latihan praktikal sepanjang kursus tersebut berlangsung.

“Ini merupakan program pertama dan melihat respons diterima, kita akan menganjurkan lagi serta mempelbagaikan kursus untuk memberi peluang belia memperoleh kemahiran berbeza.

“Antara yang kita rancang termasuk kursus pendawaian, baik pulih telefon bimbit dan beberapa kursus lain yang mengikut keperluan semasa.

“Melalui penganjuran program ini kita harap golongan belia daerah ini tidak terleka dengan sikap suka membuang masa,” katanya.- SH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial