BERJUANG IBARAT PERLAWANAN AKHIR

 

IMG_9975

SEMUA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diminta untuk berjuang habis-habisan ketika menentang Perak di laman sendiri malam ini ibarat  bermain pada perlawanan akhir.
 
Pengendalinya, Mario Gomez berkata, pertembungan dengan The Bos Gaurus di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin  penting ketika saingan liga menghampiri penghujungnya.
 
Menurutnya, skuad Harimau Selatan perlu menunjukkan aksi bertenaga untuk menang ke atas Perak sambil dibantu sokongan padu penyokong setia JDT.
 
“Saya sifatkan pertembungan ini sebagai satu lagi perlawanan akhir.
 
“Kami perlu menang ke atas Perak dan kami memerlukan kehadiran penyokong setia Harimau Selatan untuk memenuhi stadium sebagai tanda sokongan kepada kami yang berjuang di atas padang,” katanya.
 
Mario Gomez turut mengingatkan pemain Merah Biru supaya berwaspada dengan corak permainan dan  taktikal  pelawat  sekali  gus memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan.
JDT kini menduduki tangga kedua liga di belakang Pahang meskipun berkongsi 43 mata, namun skuad Tok Gajah memiliki kelebihan jumlah jaringan.
 
Skuad Harimau Selatan yang masih kebal di Larkin yakin mampu membenam Perak di hadapan penyokong sendiri sambil berharap Felda United dapat melakukan kejutan dengan mengalahkan Pahang di Stadium Darul Makmur.
 
Sementara  itu,  Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim meminta penyokong setia Harimau Selatan untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.
 
Malah beliau menyifatkan prestasi dan semangat juang pemain JDT berada pada tahap tinggi apabila mereka bermain diiringi dengan sorakan penyokong setia. – SH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial