Bersama Y.B. Norshida Ibrahim

IMG_6070 IMG_6083 IMG_6112 IMG_6160

 

Menitikberatkan soal kerjasama dan toleransi antara kaum

1.            Dari Ketua Puteri Negeri menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bagaimana YB melihat perubahan tanggungjawab ini?

Sememangnya saya merasakan akan perubahan itu. Sewaktu menyandang jawatan Ketua Puteri, saya hanya terlibat dengan program-program yang melibatkan negeri dan saya dibantu sepenuhnya oleh 26 ketua bahagian yang lain.                             

Kini, sebaik sahaja saya menang pada PRU-13 yang lalu kitaran hidup saya berubah sepenuhnya. Saya diamanahkan untuk menjaga dan membela nasib penduduk di DUN Buloh Kasap. Saya melihat tanggungjawab ini lebih berat dan kini adalah masanya untuk saya membalas jasa pengundi yang telah mengundi dan banyak membantu saya.

Jika dahulu masa saya banyak dihabiskan untuk program tertentu, kini masa saya banyak dihabiskan dengan turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat di DUN saya.

2.    Sasaran dan perancangan YB untuk DUN Buloh Kasap?

Sasaran saya pada masa ini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat  dan memastikan kehendak dan keperluan mereka terbela. Seperti sedia maklum, majoriti penduduk DUN Buloh Kasap adalah Melayu dan majoriti perkerjaan mereka adalah petani.

Melihat kepada situasi ini, saya mahu membantu mereka  menambahkan ekonomi keluarga dan turun ke padang untuk mengetahui keperluan mereka yang harus ditambah supaya pertanian yang diusahakan terus berkembang maju.

3.    DUN Buloh Kasap merupakan antara kawasan yang sering dilanda banjir. Cara YB untuk atasi masalah ini?

Banjir kali ini ia meliputi lima kawasan sahaja dan melibatkan 300 orang penduduk. Sebagai wakil rakyat yang baru, saya sedaya upaya membantu mereka dan memastikan bekalan makanan dan keperluan mereka sepanjang berada di pusat pemindahan mencukupi.

Alhamdulillah tiada sebarang masalah yang timbul dan saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu mangsa banjir. Bagi mengatasi masalah banjir di kawasan saya ini, ia akan cuba diatasi, namun untuk mengelakkan dari terkena banjir seterusnya, saya difahamkan ia agak mustahil.

Ini kerana kawasan saya ini merupakan kawasan tanah pertanian dan terdapat sungai dan paya di kawasan rumah penduduk yang sering terlibat dengan banjir. Namun begitu, saya akan berusaha untuk memastikan nasib mereka yang terlibat ini dibela dan akan dibawa kepada pengetahuan pihak berwajib.

4.    Keistimewaan di kawasan YB yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan?

Di DUN Buloh Kasap, ada sebuah jambatan lama yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Jambatan yang terputus ini diletupkan oleh British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Selatan Johor. Sehingga kini jambatan tersebut masih wujud dan ia merupakan antara tarikan pengunjung ke Buloh Kasap.

Selain itu, saya juga akan meneruskan usaha bekas Adun Buloh Kasap untuk menjadikan kawasan ini terkenal sebagai aktiviti sukan air. Di kawasan Jambatan Putus Buloh Kasap terdapat sebatang sungai yang sesuai untuk dijadikan kawasan bagi aktiviti ini.

Bagi memeriahkan kawasan di sepanjang bandar Buloh Kasap, pihak saya sudah merancang dengan PBT untuk membina gerai disepanjang jalan bandar ini. Dengan adanya gerai ini, ia bukan sahaja akan menarik perhatian pengguna jalan raya untuk singgah, tetapi juga dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Jika diperhatikan juga, terdapat banyak bangunan lama yang ada di kawasan bandar ini dan ada diantaranya yang dibina sejak zaman British memerintah. Pihak kami juga telah mengusulkan cadangan kepada PBT untuk mengecat semula bangunan berkenaan supaya ia nampak cantik dan menjadi daya tarikan pengunjung.

 

5.    Cara YB sendiri untuk mengeratkan perpaduan dan muafakat dikalangan masyarakat terutamanya di kalangan penduduk DUN Buloh Kasap?

Walaupun majoriti penduduk di sini adalah Melayu, saya merasakan perpaduan dan semangat permuafakatan yang ada sudah ada sejak sekian lama. Namun, ia juga haruslah terus disiram dan disuburkan supaya ia bertambah kuat dan padu.

Bagi memastikan usaha ini berterusan, ketika turun meninjau kawasan dan bertemu penduduk saya amat menitik beratkan soal kerjasama dan semangat toleransi antara kaum. Program-program anjuran persatuan dan masyarakat digunakan sepenuhnya oleh saya untuk memastikan kami sentiasa berhubung tanpa ada sepadan.

6.    Bagaimana YB membahagikan masa sebagai Isteri, Ibu dan wakil rakyat?

Sejujurnya, pada awalnya saya merasakan kekok. Namun, lama-kelamaan saya semakin serasi hasil dorongan suami dan ahli keluarga. Anak-anak dan suami juga semakin faham bahawa kehidupan saya kini juga harus dikongsi bersama masyarakat DUN Buloh Kasap. Banyak perkara yang harus saya berikan perhatian.

Namun begitu, saya tidak mengenepikan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri dan ibu. Sebelum keluar rumah untuk bertemu masyarakat, saya akan pastikan keperluan mereka disiapkan dan jika ada masa walaupun sekadar 30 minit, saya akan luangkan bersama suami dan anak-anak.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial