Bilangan Laluan Lapangan Antarabangsa Senai Meningkat 66.7%

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Lapangan Antarabangsa Senai telah merekodkan peningkatan dalam bilangan laluan penerbangan sebanyak 66.7%, daripada sembilan laluan pada 2012 kepada 15 kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, kini terdapat sembilan laluan domestik dan enam laluan antarabangsa termasuk ke Ho Chi Minh, Bangkok, Surabaya, Jakarta, Guangzhou dan Shenzhen.

“Purata kekerapan penerbangan juga meningkat sebanyak 334% daripada 129 penerbangan seminggu pada 2012 kepada 560 penerbangan seminggu kini.

“Landskap pelancongan Johor telah berubah dengan ketara. Hasil daripada usaha promosi secara giat, Johor berjaya mencatatkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong seramai tiga juta orang dalam tempoh tiga tahun ini,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga yakin bahawa ‘trend’ peningkatan jumlah kedatangan pelancong ini akan berterusan.

“Statistik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia merekodkan bilangan hotel bertaraf bintang di Johor sebanyak 83 unit dengan 8,352 bilik pada tahun 2012, telah meningkat kepada 97 unit dengan 10,791 bilik setakat Februari tahun ini.

“Tambahan pula, tujuh unit hotel bertaraf antarabangsa yang menawarkan 2,008 bilik sedang dibina dan dijangka siap menjelang tahun 2019,” ujar beliau.

Tee juga menerangkan bahawa perkembangan sektor pelancongan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat setempat.

“Setiap limpahan ini akan mewujudkan ruang perniagaan dan peluang pekerjaan yang dapat memanfaatkan setiap lapisan masyarakat.

“Bilangan pemandu pelancong meningkat daripada 840 orang pada tahun 2012 kepada 1,088 orang setakat Mac 2017, manakala agensi pelancongan di Johor menunjukkan peningkatan daripada 321 buah pada 2012 kepada 375 buah pada tahun lepas,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial