Bincangkan Dahulu Dengan Kerajaan Negeri Johor – Khaled

PASIR GUDANG, 17 Jun – Sebarang keputusan mengenai Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) yang membabitkan kesejahteraan rakyat Johor, perlu mendapat pandangan negeri.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, mengenai Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) pula, beliau berkata, Kerajaan Negeri percaya perkara itu turut mendapat perhatian penuh Kerajaan Pusat.

“Saya percaya kedudukan kedua-dua ini dalam perhatian Kerajaan Pusat. Dari segi negeri, kita percaya apa pun yang hendak dibuat dia akan berbincang dengan Kerajaan Negeri lebih-lebih lagi tentang EDL yang terjejas semenjak daripada Kerajaan Singapura bertindak balas dengan kutipan daripada EDL itu sendiri dan juga pengenalan kepada VEP.

“Tetapi apa pun yang Kerajaan Pusat hendak atasi yang boleh menjejaskan masyarakat Johor saya minta supaya berbincang dahulu dengan Kerajaan Negeri” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri tiada halangan jika Kerajaan Pusat membuat keputusan untuk mengambil alih SDE (E22) yang dilaporkan berisiko muflis.

“Bagi E22, memang YPJ ada 30 peratus saham di dalamnya, tetapi semenjak ia beroperasi syarikat ini mengalami kerugian dan kita tidak pernah mendapat apa-apa dividen daripadanya.

“Mengenai ini, saya sedia terima apa-apa keputusan daripada Keraajaan Persekutuan dan kalau mereka hendak ambil alih lagi saya setuju kerana lama juga Kerajaan Negeri tunggu tetapi sampai sekarang tiada dividen dibayar.

“Kalau Kerajaan Pusat hendak ambil kerana syarikat itu rugi saya tiada apa-apa halangan. Tetapi bagi EDL, apa-apa yang boleh menjejaskan masyarakat Johor, minta bincang dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua syarikat konsesi tol berkenaan yang dikatakan berisiko muflis pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 Yayasan Pasir Gudang di Taman Cendana di sini.

Mohamed Khaled bersama penerima sumbangan Bantuan Aidilfitri Yayasan Pasir Gudang MPPG di Taman Cendana.

Pada majlis itu seramai 400 penerima pelbagai kaum yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan anak yatim.

Mereka masing-masing menerima sumbangan RM200 iaitu RM100 dalam bentuk barangan keperluan dam RM100 lagi dalam tunai.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah bukti bagaimana sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mampu meyumbang kepada masyarakat di bawah pentadbirannya.

“Setiap PBT tanggungjawabnya bukan hanya untuk membuat perancangan di satu-satu kawasan, soal kebersihan, kesihatan dan sebagainya tetapi pada masa yang sama perlu melihat masyarakat dalam PBT itu dalam keadaan yang sejahtera, ceria dan gembira.

“Atas sebab itu Kerajaan Negeri mewujudkan yayasan kerana melaluinya matlamat tersebut boleh tercapai dan terserah kepada yayasan berkenaan untuk memikirkan apa program yang realistik, pragmatik dan berkesan untuk masyarakat yang ada dalam kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Ramadhan ini, Yayasan Pasir Gudang telah memperuntukkan RM150,000 bagi membantu 800 penerima di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial