Bio-XCell Akan Terus Tarik Pelaburan Penting Kepada Industri Di Johor

ISKANDAR PUTERI, 30 Julai – Bio-XCell Malaysia, pusat bioteknologi global terkemuka di Johor telah menerima pelaburan bernilai RM3.08 bilion setakat tahun ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.02 bilion pelaburan telah direalisasikan.

“Saya pasti Bio-XCell akan terus menarik pelaburan lebih penting dan projek menguntungkan yang akan memberi manfaat kepada industri berasaskan bio di Johor.

“Segmen pertanian, penjagaan kesihatan dan perindustrian yang berasaskan bio dijangka terus berkembang dan makmur di Johor pada masa depan,” katanya berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Verdezyne di Kawasan Perindustrian Kluster Logistik dan Perindustrian Selatan (SiLC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Verdezyne Corporation, Chad Waite.

Pengeluaran asid dodecanedioic (DDDA) secara komersial oleh kilang pertama di dunia itu boleh menjadi titik perubahan dalam industri minyak sawit dan biokimia serta berupaya mentransformasikan Johor menjadi salah satu hab bioekonomi terkemuka di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 33 syarikat berasaskan bio ditempatkan di Johor, termasuk 23 syarikat berstatus BioNexus, 10 pemilik projek di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) dan satu syarikat berimpak tinggi setakat bulan ini.

Katanya, 10 projek BTP itu dijangka menyumbang pelaburan bernilai RM1.93 bilion menjelang 2020.

“Syarikat ini (33 syarikat) termasuk lima projek di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) di Johor telah menyumbang pelaburan bernilai RM2.3 bilion dan menyediakan hampir 1,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pelaburan yang direalisasikan hari ini bersama Verdezyne dari Amerika Syarikat itu membuktikan Johor mempunyai semua ‘bahan’ yang sesuai bagi menarik pelabur dari seluruh dunia.

“Johor terus menjadi juara menarik pelaburan paling banyak dalam sektor pembuatan dengan negeri ini menerima jumlah terbesar pelaburan diluluskan bernilai RM26.4 bilion, menyumbang 45.2 peratus daripada jumlah pelaburan langsung untuk seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi berasaskan bio itu boleh memberi pendapatan tambahan, selain meningkatkan nilai industri minyak sawit Johor.

Kilang itu dijangka beroperasi pada tahun depan.

Bio-XCell Malaysia iaitu taman bioteknologi dan ekosistem pertama di Malaysia seluas 160 ekar yang terletak dalam SiLC, dibangunkan oleh Malaysian Bio-XCell Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia dan UEM Sunrise Bhd pada 2009.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial