BR1M Bukan Rasuah

Mohamed Khaled menyampaikan BR1M kepada salah seorang penerima dalam kawasan DUN Permas.

PASIR GUDANG, 25 MAC – Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) bukan rasuah, sebaliknya ia bantuan yang adil untuk masyarakat tidak berkemampuan di negara ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa BR1M juga merupakan bantuan untuk membangunkan masyarakat miskin.

Menurut beliau, mana-mana pihak khususnya pembangkang yang mengatakan BR1M itu rasuah, jelas mereka tidak faham selain mahu menimbulkan persepsi negatif untuk mempengaruhi rakyat.

“Kalau gitu saya sediakan Bas Muafakat Johor itu rasuah?

“Saya ingat orang itu tidak paham dan hanya mahu wujudkan persepsi. Tak kan lah bila kerajaan bantu rakyat yang susah itu rasuah?

“Adakah zakat itu juga sistem rasuah dalam Islam? Adakah zakat yang diperkenalkan Islam sebagai satu usaha untuk membantu, menjayakan supaya masyarakat yang dibangunkan menjadi baik itu rasuah? Jadi.. boleh jawab sendiri, boleh tengok orang yang cakap tu semuanya hanya nak bangunkan persepsi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyampaian BR1M peringkat DUN Permas di Taman Cendana, dekat sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, BR1M merupakan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional untuk ringankan beban kumpulan sasaran yang terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

Ia sekaligus membuktikan kerajaan tidak meminggirkan golongan rakyat berpendapatan rendah.

Pada majlis itu, seramai 525 orang golongan sasar di kawasan Dun Permas menerima BR1M .

Daripada jumlah itu, seramai 392 adalah Melayu, 57 (Cina), 67 (India), manakala selebihnya iaitu sembilan orang dari kaum-kaum lain.

Jumlah keseluruhan penerima BR1M dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang ialah seramai 1,187.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial