Buang Stigma Johor Sebagai Tempat Pembuangan

Stigma

EKONOMI Negeri Johor kian menunjukkan perkembangan positif. Sepanjang 2013, Johor  merekodkan penerimaan pelaburan perindustrian yang tertinggi di Malaysia bernilai RM14.4 bilion.

Daripada jumlah itu, RM11.5 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala  RM2.9 bilion disumbang pelaburan dalam negara. Keseluruhan pelaburan ini jangka mampu menjana 18,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor perindustrian.

Namun begitu, di sebalik kejayaan diraih oleh Negeri Johor, terdapat kata-kata ‘nakal’ atau permainan psikologi menganggap kejayaan yang dikecapi ini adalah kerana Johor merupakan belakang rumah Singapura (Johor as a backyard of Singapore). Jika tidak kerana berjiran dengan republik itu maka jauh sekali untuk Johor meraih pencapaian cemerlang dalam menarik pelaburan sehingga berbelas billion ringgit.

Ada pihak mendakwa kerana kedudukan yang begitu hampir dengan Singapura maka Johor  menjadi tempat pelbagai firma asing menjalankan aktiviti yang rendah nilai tambahnya bagi menyokong aktiviti bernilai tinggi di Singapura.

Namun Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa pentadbirannya mengamalkan dasar memilih pelaburan yang hendak dibawa masuk, jauh sekali rela menjadi sebagai dumping site kepada industri berkualiti rendah.

“Dengan lebih selektif dalam memba masuk pelaburan yang lebih berkualiti maka ini akan  mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta berteknologi tinggi di Johor.

“Johor juga mesti menjadikan tanggapan bahawa ia adalah ‘the backyard of Singapore’ suatu sejarah. Johor mesti menjadi negeri yang bukan sahaja geografinya berhampiran dengan negara maju kelas pertama tetapi ekonominya juga releven dan saling berhubungan,” kata beliau.

Timbalan Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Dr Badrul Hisham Kassim,  ketika diminta mengulas perkara yang sama berkata, situasi firma di Johor yang menjalankan aktiviti nilai tambah dari Singapura atau ‘Singaporean Factory’ ini perlu dilihat secara positif.

“Ini merupakan keunikan Johor yang berjiran dengan sebuah negara maju berbanding negeri lain. Dengan ini, Johor secara tidak langsung menjadi negeri yang lazim menerima pelaburan industri yang tinggi,” katanya.

Namun begitu, ia bukan boleh dijadikan alasan oleh Johor untuk terus bergantung kepada Singapura semata-mata sebaliknya Johor terus mengorak langkah mengembangkan ekonominya mengikut acuan sendiri.

Kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri membangunkan Iskandar Malaysia terus mengukuhkan kedudukan ekonomi Johor, di samping dengan adanya pembinaan projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

Di sebalik kejayaan Iskandar Malaysia itu juga, masih ada pihak mengatakan kepesatan pembangunan di wilayah itu turut bergantung kepada ekonomi dan kepesatan yang berlaku di Singapura.

Menjawab dakwaan ini, Dr Badrul yang juga Pesuruhjaya Negeri di Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, situasi itu adalah tidak benar.

“Pelbagai kaedah dan inisiatif telah pun dijalankan bagi menangkis dakwaan ini. Penubuhan Iskandar Malaysia ini sendiri merupakan jalan terbaik bagi kita memaksimumkan potensi ekonomi dalam conurbation (bandar gabungan) paling selatan di Semenanjung dengan pelbagai inisiatif bagi menarik pelaburan bermutu tinggi. Di samping itu, ia juga menjadikan Johor  sebuah pusat aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Katanya, walaupun pelbagai dakwaan dilemparkan kepada Johor, khususnya mengenai Iskandar Malaysia, beliau yakin ia tidak mempengaruhi pemodal dan jumlah pelaburan yang hendak dibawa masuk ke negeri ini.

“Jika dilihat pada jumlah pelaburan yang diterima Johor pada 2013, pelaburan asing telah mendominasi jumlah pelaburan yang diterima sekaligus mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi Johor.

“Pelaburan berimpak tinggi khusus dari sektor minyak dan gas bakal menjadi pemangkin kepada keyakinan pelabur bahwa Johor telah bersedia menjadi tuan rumah kepada pelaburan berimpak tinggi. Ini seca tidak langsung mampu menangkis dakwaan Iskandar Malaysia dan Johor khususnya adalah sesuai menjadi belakang rumah Singapura,” katanya.

Pembinaan Taman Tema Legoland dan Hab Pendidikan di Educity, katanya, merupakan antara yang dapat dilihat dan dijadikan contoh bahawa Johor mampu bersaing serta berdikari untuk menarik pelaburan secara langsung ke negeri ini tanpa bergantung kepada pengaruh atau ikhsan mana-mana pihak.

Di samping itu, Dr Badrul berkata, ekonomi Negeri Johor berjaya dipelbagaikan menerusi sistem kluster yang wujud di sekitar industri utama seperti minyak dan petrokimia, logistik, elektrik dan elektronik, pertanian dan industri asas tani serta sektor pelancongan.

Walaupun secara amnya sektor perindustrian dan perkhidmatan adalah penyumbang serta  pemangkin terbesar kepada ekonomi negeri, pertanian terus menjadi sektor penting kepada Johor dengan menyumbang hampir 14 peratus daripada jumlah pengeluaran sektor pertanian negara dengan nilai RM6.6 bilion.

Sementara itu, dalam memastikan pembangunan Johor terus maju dan berdaya saing, kerajaan negeri tidak mengenepikan faktor terpenting dalam sesebuah pembangunannya iaitu modal insan.

Dr Badrul berkata, rakyat Johor seharusnya memerangi sikap-sikap mundur atau negatif dan harus bangun untuk berubah di samping menanamkan keyakinan untuk terus berjaya.

“Limpahan pembangunan ini sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat Johor dalam aspek peluang pekerjaan dan bentuk cukai yang dikutip oleh kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat.

“Dalam aspek pembangunan sumber manusia, kerajaan menetapkan dasar di mana sesebuah syarikat yang menjalankan perniagaan di negeri Johor hendaklah memastikan penglibatan rakyat tempatan terutamanya sektor yang melibatkan kemahiran sederhana dan tinggi,” katanya.

 

 

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial