Budaya Kesukarelawanan Johor Sumber Inspirasi Umie Aktif KL

umie-aktif

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Bermatlamat membantu nasib gelandangan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Umie Aktif tampil dengan idea kesukarelawanan.

Sukarelawan Umie Aktif, Rozy Ghaffar, 39, berkata aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan sejak setahun yang lalu telah berjaya membantu golongan gelandangan terutamanya di Chow Kit untuk menampung kehidupan di kota raya Kuala Lumpur.

“Saya tertarik dengan budaya kesukarelawanan yang berjaya diterapkan di negeri Johor, termasuklah dalam konteks membantu gelandangan.

“Kami sebagai sebuah persatuan NGO melihat konsep itu sebagai suatu aktiviti yang mulia terutamanya dalam membentuk sahsiah dan jati diri,” katanya.

Menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh negeri Johor dalam aspek kesukarelawanan itu perlu dicontohi dan menjadi panduan oleh negeri-negeri lain.

Projek Tangan Kechil yang dilaksanakan merupakan koleksi unik jahitan tangan yang dihasilkan oleh gelandangan di sekitar kawasan Chow Kit.

“Projek itu disertai lebih kurang 20 orang gelandangan terdiri daripada kaum ibu bersama-sama anak-anak mereka dengan menghasilkan koleksi unik yang dijahit sendiri.

“Bahan-bahan jahitan termasuk kain perca adalah hasil sumbangan orang ramai.

Menurutnya lagi, 20 peratus daripada hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung yang akan digunakan oleh gelandangan untuk membayar sewa rumah dan membeli barang keperluan, manakala selebihnya diserahkan kepada individu yang menghasilkan koleksi tersebut.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial