Budaya Keusahawanan Perisai Iklim Ekonomi Tidak Menentu

rencana-utusan

PADA 1997, Malaysia dan sebahagian besar negara lain di rantau ini menghadapi krisis ekonomi yang rumit. Malaysia begitu terkesan dengan krisis tersebut dan kita berada dalam keadaan yang sulit. Akan tetapi, kedudukan beberapa negara lain seperti Si­ngapura dan Taiwan tidak terjejas kerana majunya budaya keusahawanan di kedua-dua negara tersebut. Usahawan mereka sangat dinamik dan berdaya saing.

Ekonomi mereka juga tumbuh dengan pesat bukan semata-mata kerana sumbangan gergasi sektor korporat, tetapi digerakkan oleh usahawan sektor kecil dan sederhana. Mereka juga tidak terjejas dengan sistemic effect yang terhasil oleh kegagalan beberapa konglo­merat besar. Sebaliknya, merekalah yang menjadi benteng dalam memastikan ekonomi negara mereka terus berfungsi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang diperlukan.

Perkembangan ini membuktikan bahawa jika kita mahukan ekonomi yang mempunyai daya tahan dan terus mapan, maka ke­usahawanan mestilah menjadi pemangkinnya.

Dalam tulisan ini, saya ingin mengemukakan tiga perkara pen­ting bagi membudaya ke­­usahawanan dan inovasi, khusus­­nya di Johor. Pertama, Johor amat serius dalam pembangunan keusahawanan dan inovasi. Malah ia adalah antara agenda utama dan terpenting negeri Johor yang dinamakan sebagai Ke­usahawanan Johor.

Semenjak tiga tahun lepas, pelbagai inisiatif yang khusus bagi merancakkan keusahawanan di Johor telah dilaksanakan. Bermula dari skim latihan, penyedia­an inkubator, langkah intervensi yang melibatkan bantuan modal dan teknologi, sehinggalah kepada aspek bantuan pemasaran dan promosi. Malah, golongan sasar kita juga pelbagai dan mencapah kerana kita bukan sahaja menumpukan kepada kelompok usahawan sedia ada. Sebaliknya, turut menyasarkan mereka yang baru mahu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan ini khususnya golongan muda dan graduan.

Keusahawanan sememangnya penting sebagai pemacu kepada pertumbuhan ekonomi. Melalui pertumbuhan, akan wujud pekerjaan. Apabila wujud pekerjaan, akan wujudlah pendapatan. Dan apabila wujudnya pendapatan, ma­­ka datanglah kesejahteraan dan kemakmuran, yang menjadi sasaran utama dalam mana-mana sistem ekonomi. Ia juga akan dapat membentuk masyarakat yang mandiri, menghapuskan mentaliti menunggu untuk disuap sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Kedua, keusahawanan menuntut kita membudayakan perkongsian kepakaran. Kita memerlukan sinergi misalnya antara kerajaan dengan universiti dan pelbagai pemegang taruh lain. Hal ini penting kerana tanpa sinergi ini, kita tidak bertindak strategik. Kita tidak akan mempunyai nilai tambah dan competitiveness. Tanpa semua itu, budaya keusahawanan kita akan menjadi pegun, tidak menjalar segar. Oleh kerana itu di Johor ini, mentera kita ialah Muafakat, iaitu Muafakat Johor yang berkisar tentang perkongsian.

Melalui pendekatan sinergi, kita menyaksikan pelbagai pihak bermuafakat dalam perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman, khususnya mereka yang telah teruji dan berjaya dalam perniagaan masing-masing. Saya percaya ramai pakar dan ikon-ikon dalam bidang keusahawanan boleh terlibat secara langsung. Johor bukan sahaja menerima kedatangan dan penglibatan mereka secara fizikal. Akan tetapi, kita sedang meraikan kedatangan ilmu kepada kita. Cerita kejayaan dan kegagalan mereka sebelum berjaya serta pelbagai lagi cerita terbaik, tentang kejayaan sikap tidak berputus asa dan mengurus persaingan.

Ketiga, kita mahu membudayakan inovasi. Ia bukan sahaja strategik tetapi adalah masa depan Johor. Johor yang berkemajuan yang akan menjadi kuasa selatan dan Johor Inovatif yang ekonominya di­­bangunkan dengan teknologi, krea­­tiviti dan inovasi termaju. Di Johor, semua pihak mesti sentiasa bersaing untuk membangunkan ekonomi berdasarkan idea yang kreatif bagi manfaat bersama. Inovasi yang rancak dan berterusan akan menghasilkan sesuatu yang baharu, yang menarik, yang functional dan yang mempunyai nilai ekonomi.

Ini seterusnya akan mengubah secara radikal pola permintaan dan pengeluaran kepada barangan dan perkhidmatan kita sekaligus menjana pertumbuhan. Justeru, jika kita di Johor bercita-cita untuk menjadi kuasa ekonomi baharu di Malaysia, kita hanya ada satu pilihan, iaitu kreativiti dan inovasi mesti dibudayakan dalam setiap bidang, setiap lapisan masyarakat sama ada dalam aspek pendidikan, perniagaan, perkhidmatan mahupun pentadbiran kerajaan negeri dan agensi awam.

Namun kita sedar bahawa untuk membudayakan inovasi bukanlah satu perkara yang mudah. Justeru, langkah dan perancangan yang teliti, bersungguh-sungguh dan bersepadu perlu ditentukan. Misalnya, pertama, pembudayaan inovasi me­merlukan proses pencarian dan pengumpulan bakat terbaik. Tanpa bakat dan minda terbaik, budaya ino­vasi tidak akan subur dan berkembang. Dan proses mencari bakat ini adalah sesuatu yang mencabar, menelan belanja dan memakan masa. Kedua, untuk membudayakan inovasi dalam masyarakat, ia menuntut kelonggaran dan keanjalan sistem dan prosedur agar wujud ruang kreativiti dan inovasi. Prosedur dan batas-batas polisi yang terlalu ketat dan tidak munasabah hanya akan melumpuhkan dan menggagalkan inovasi.

Ketiga dan terakhir, pembudayaan inovasi menuntut agar kita tidak mudah berputus asa. Salah satu perkara yang amat sinonim dan tidak asing dalam mana-mana proses inovasi dan kisah kejayaan keusahawanan, adalah kegagalan. Melalui kegagalan, kita akan belajar tentang kesilapan dan kelemahan kita. Sama ada daripada segi idea yang tidak cukup baik, ataupun pendekatan yang masih tidak sesuai, kegagalan mengajar kita untuk menjadi lebih baik, lebih matang dan lebih berpengalaman.

Keusahawanan dan inovasi adalah dua perkara penting yang saling kait mengait antara satu sama lain dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan transformasi negara. Negara maju meletakkan keusahawanan dan inovasi sebagai prasyarat penting untuk pertumbuhan yang lestari dan kita perlu mengambil pengajaran. Ia sebenarnya bukan satu usaha yang mudah tetapi ia tidak mustahil dijayakan jika kita mempunyai iltizam dan kesungguhan yang tinggi.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial