Buka Ruang Kakitangan Awam Miliki Rumah

marsan

BERITA baik untuk anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor apabila mereka layak menikmati pinjaman perumahan tanpa faedah berkuatkuasa 1 Mac 2014 lalu.

Skim pinjaman itu diumumkan Menteri Besar Johor,  Dato’ Mohamed Khaled Nordin, sempena sesi perjumpaan beliau dengan kakitangan perkhidmatan awam di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, baru-baru ini.

Skim itu layak dimohon oleh semua kakitangan awam berjawatan tetap dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun.

Memperincikan skim berkenaan, Pegawai Kewangan Negeri, Marsan Kassim berkata, skim pinjaman tanpa faedah itu akan dapat mengecilkan bayaran balik pinjaman bulanan berbanding  pinjaman yang dikenakan kadar faedah sebanyak 4 peratus sebelum ini.

Dengan adanya skim pinjaman seumpama ini, kata beliau, ia secara tidak langsung membolehkan pegawai berpendapatan rendah meminjam tanpa perlu menjejaskan baki pendapatan bersih selepas membuat pinjaman perumahan.

“Ini memandangkan bahawa kelayakan pinjaman bergantung kepada jumlah keseluruhan potongan yang tidak melebihi 60 peratus daripada keseluruhan pendapatan.

“Dengan penurunan balik potongan bulanan maka jumlah kelayakan pinjaman akan meningkat mengikut gaji hakiki tertakluk kepada kelayakan maksimum pemohon.

“Sebelum ini kakitangan awam berpendapatan rendah terhalang untuk membuat pinjaman kerana perlu menyediakan wang sendiri untuk membayar perbezaan harga rumah yang dibeli berbanding kelayakan pinjaman,” katanya.

Bagi kakitangan awam yang telah membuat pinjaman perumahan terdahulu, faedah atau keuntungan yang telah dijelaskan tidak akan dikembalikan kerana skim pinjaman pinjaman ini hanya berkuatkuasa mulai 1 Mac 2014.

Namun begitu, satu jadual bayaran balik baharu tanpa faedah  dan keuntungan akan dikeluarkan serta dikemaskini dalam sistem gaji mulai April atau Mei 2014.

“Mana-mana peminjam yang mempunyai tunggakan faedah sebelum tarikh itu tidak terkecuali dan perlu membayar faedah tertunggak pinjaman tersebut.

“Begitu juga dengan mana-mana peminjam yang meninggalkan perkhidmatan perlu membayar baki pinjaman sekaligus. Sekiranya gagal, kadar faedah atau keuntungan akan dikenakan sebayak 7 peratus setahun” katanya.

Berkenaan peminjam yang telah bersara, Pejabat Perbendaharaan Negeri katanya, sedang berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengemaskini jumlah potongan terkini dari pencen pesara dan ia diharap dapat dilaksanakan pada Jun 2014.

Pesara juga mempunyai pilihan untuk membuat potongan mengikut kadar lama dan secara tidak langsung memendekkan lagi tempoh bayaran balik pinjaman.

 

KOMEN KAKITANGAN AWAM

Noor Azmi Md Omar (Penolong Setiausaha II, SUKJ  Bahagian Perumahan)

Ini satu pengumuman yang sememangnya dinantikan kakitangan awam di Johor. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor dilihat peka terhadap beban yang ditanggung kakitangan awam negeri ini.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ia secara tidak langsung mengekang kakitangan yang bergaji rendah untuk memiliki rumah sendiri. Namun, apabila skim ini diumumkan, ia memberi nafas baharu kepada mereka yang masih belum mempunyai rumah sendiri, kerana dengan kemampuan kewangan yanga ada dan dengan adanya skim pinjaman perumahan tanpa faedah ini, mereka mampu membeli rumah idaman masing-masing.

Nor Izrin Alias (Pegawai Khidmat Pelanggan, Pejabat SUKJ)

Alhamdulillah, saya anggap ini satu reward untuk setiap kakitangan awam daripada Kerajaan Negeri. Dengan harga rumah yang melambung tinggi ketika ini, ia menyebabkan ramai kakitangan awam tidak memampu memiliki rumah sendiri kerana bayaran balik pinjaman yang tinggi.

Bagi membalas balik jasa kerajaan, kakitangan awam harus lebih komited dalam tugas. Kami rasa usaha kami dihargai selama ini apabila kerajaan memahami beban yang kami tanggung selama ini,” katanya.

Hanim Surip (Pembantu Tadbir, Unit Pembangunan, Pejabat Menteri Besar Johor)

Pengumuman itu sedikit sebanyak melegakan saya kerana saya telah membeli rumah melalui skim pinjaman kerajaan negeri. Jadi apabila jumlah potongan akan dikurangkan, ia sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung.

pinjamantanpafaedah

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial