Cabaran Inovasi Johor Dilancar

image

 

KOTA ISKANDAR, 15 Jun – Kerajaan Negeri Johor melalui Bahagian Sains dan ICT Negeri Johor (BSTICT) hari ini melancarkan pertandingan Cabaran Inovasi Johor 2016, dalam usaha memupuk budaya inovasi di kalangan masyarakat negeri ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata Kerajaan Negeri memberi fokus dan perhatian terhadap aspek inovasi kerana ia merupakan asas yang dapat memberi dan melonjakkan kemajuan negeri.

“Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa inovasi boleh menyumbang dan memudahkan pembangunan di negeri Johor. Sumbangan inovasi ini boleh datang dari mana-mana termasuk dari khalayak masyarakat kita.

“Melalui pertandingan ini, pertama kita mahu menunjukkan bahawa kita serius dalam soal inovasi. Kedua, kita mahu mengiktiraf produk-produk inovasi yang dibangunkan masyarakat yang boleh dikomersilkan, dan ketiga, kita mahu membudayakan inovasi di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan cabaran itu yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di sini, hari ini.

Program Cabaran Inovasi Johor 2016 merupakan pertandingan mencetus idea berpotensi tinggi untuk dikomersilkan dan memberi impak besar kepada komuniti tempatan dan negara.

Ia tidak semestinya melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memerlukan kos yang tinggi.

Pertandingan ini diadakan bertujuan mengiktiraf hasil inovasi penduduk negeri Johor dan memberi peluang kepada masyarakat menyumbang kepada peningkatan kualiti produk sediada, selain mengenalpasti industri yang mampu menambah baik ekonomi dalam negeri.

Terdapat lima bidang fokus utama dalam cabaran ini iaitu Utiliti; Kesihatan dan Cara Hidup Sihat; Pendidikan; Produktiviti serta Makanan dan Minuman.

“Kita menyeru kepada rakyat negeri Johor untuk mengetengahkan produk-produk inovasi mereka, dan kita akan pilih produk terbaik yang boleh digunapakai secara meluas,” tambahnya.

Penyertaan dibuka bermula hari ini sehingga 15 Julai 2016 dan terbuka kepada seluruh rakyat Johor, tanpa had umur.

Hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama ialah RM5,000 beserta trofi dan sijil, tempat kedua, RM3,000 beserta trofi dan sijil, dan tempat ketiga RM1,500 beserta trofi dan sijil.

Keterangan lanjut, sila layari laman sesawang http://johor.innomap.my

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial