Cadangan Pembangkang Pertikai Integriti SPRM

ISKANDAR PUTERI, 9 Mac – Usul yang dikemukakan oleh pembangkang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa terpilih untuk memantau siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat seperti mempertikaikan integriti dan ketelusan suruhanjaya itu dalam melaksanakan tugasnya.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Johor, Datuk Samsol Bari Jamali hari ini menyokong keputusan yang diambil oleh Speaker Dewan Negeri Johor berhubung penolakan usul itu.

“Barisan kepimpinan, semua kakitangan dan agensi sentiasa memberi kerjasama dan sokongan untuk menjalankan siasatan.

“Malah, pihak Kerajaan Negeri juga akan menerima apa sahaja keputusan hasil daripada siasatan tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas tamat Persidangan Dewan Negeri Johor Yang Ke-13, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, tindakan menolak usul tersebut juga adalah mengikut sebagaimana Peraturan 45 Perkara 7 (Peraturan-peraturan Berbahas berkenaan hak menjawab).

“Usul yang ditolak adalah berdasarkan peraturan dan ianya harus diterima walaupun itu adalah hak dia untuk mengetengahkan cadangan.

“Pada masa sama, ia secara jelas membuktikan kita memberi kerjasama kepada pihak terlibat membuat siasatan dan tidak melindungi mana-mana pihak yang disiasat,”katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong diarahkan supaya keluar dewan selepas berlaku kekecohan berhubung usul menubuhkan jawatankuasa bagi memantau dan menyiasat berhubung isu rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial