CARI PUCUK PAKU, JUMPA BOM LAMA

image (4)

PONTIAN – Seorang pekerja kebun sawit terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan dua bom lama ketika sedang memetik pucuk paku di Kampung Parit Sikom, di sini,  tengah hari kelmarin.

Amirul Shari, 23, berkata, seorang rakannya memberitahu menjumpai dua biji bom lama dan dia segera melihat untuk mengetahui kebenaran cerita itu.

“Bom tangan itu ada dalam semak dan belukar di kebun sawit. Selepas melihat bentuknya yang agak pelik dan ada kod nombor kami percaya ia bom lama.

“Kami cepat-cepat maklumkan penemuan bom lama itu kepada penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, objek yang ditemui itu adalah bom mortar jenis 60 milimeter dipercayai  buatan British.

Menurutnya, bom berukuran 30.48 sentimeter dengan lilitan 16.5 sentimeter itu dipercayai peninggalan perang dunia.

“Bom itu aktif dan meletup ketika dimusnahkan Unit Pemusnah  Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Kerja memusnah dibantu anggota Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan anggota Balai Polis Kayu Ara Pasong,  kelmarin,”  katanya pada sidang media, semalam.

Beliau turut meminta penduduk di daerah ini supaya tidak menyentuh atau mengalihkan sebarang objek yang berbentuk bom lama jika ia ditemui kerana dikhuatiri boleh mengundang letupan.

Zakaria berkata, sesiapa yang menjumpai objek seakan bom hendaklah menghubungi polis dengan segera.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial