Cari Sumber Air Bawah Tanah

BATU PAHAT, 18 Dis – Kerajaan Negeri meneruskan cadangan untuk mencari sumber air bersih dari bawah tanah menjelang tahun 2018 bagi menampung keperluan seluruh rakyat di negeri ini.

Sebanyak RM2 juta telah diperuntukan pada tahun 2017 untuk menjalankan kajian bagi mencari punca sumber bekalan berkenaan, sekali gus memastikan setiap daerah mempunyai sumber air bersih sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pihaknya telah mengarahkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melakukan kajian berkenaan.

Katanya, dengan kerjasama sebuah agensi dari Jepun, beliau berharap kajian berkenaan akan memperoleh kejayaan dan seterusnya boleh berjalan mengikut waktu yang telah dirancang melalui Pembentangan Bajet 2017, baru-baru ini.

“Kita akan melakukan kajian di kesemua 10 daerah di negeri ini dan pada cadangan awal kita akan pastikan setiap daerah akan mempunyai sekurang-kurangnya satu sumber air bersih dari bawah tanah ini.

“Selain menampung keperluan rakyat negeri ini yang semakin bertambah terutamanya di daerah barat Johor, kita juga akan membuat projek mencari sumber air bawah tanah ini untuk dijual kepada Singapura yang meminta semakin banyak bekalan air,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Negeri Johor 2016 di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, peruntukan bagi membina telaga atau mencari punca air bawah tanah ini akan dibentangkan pada Bajet 2018 yang bakal diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir dalam program yang diadakan di Dewan Orang Ramai (A) Parit Raja itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Puan Sri Azizah Zakaria, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Risda, Halimah Abd Kadir dan Pengarah Risda Johor, Daman Huri Toha.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mewartakan kesemua empangan di negeri ini walaupun masih ada sebahagian yang belum lagi diwartakan atas sebab tertentu.

“Kelewatan pewartaan empangan berkenaan adalah atas sebat pengambilalihan tanah yang sebahagiannya masih lagi menjadi milik persendirian dan masih lagi menjalankan aktiviti perladangan.

“Kita akan selesaikan secepat mungkin dan pada perancangannya pada tahun hadapan ke semua empangan di negeri ini akan diwartakan, seterusnya dapat mengelakkan aktiviti pencerobohan sebagaimana yang berlaku sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 37 usahawan Risda berjaya dalam bidang pemakanan, perkhidmatan dan pembuatan dikumpulkan melalui karnival selama tiga hari yang bermula kelmarin.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial