Catatan perkenalan

Oleh: MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

Salam perkenalan daripada Kawan kepada semua pembaca buletin Jauhar. Alhamdulillah, setelah berbulan lamanya persiapan dibuat untuk mewujudkan buletin ini, akhirnya ia berhasil. Ini semua adalah berkat kerjasama dan semangat berpasukan antara Kawan dan rakan-rakan sidang editorial Jauhar. Boleh  Kawan katakan ini adalah kejayaan sepasukan.

Kawan pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa Jauhar dipilih sebagai nama buletin rasmi Kerajaan Negeri kali ini. R. O. Winstedt dalam bukunya yang berjudul A History of Johore, menulis bahawa Jauhar itu adalah antara nama-nama Johor selain Wurawari, Ganggayu atau Gangga Ayu, dan Ujong Medini atau Ujong Tanah.

 Tajuk Johor terbitan BESTARI Johor Berhad pula menerangkan bahawa orang-orang Jawa menyebut Johor sebagai Galuh yang bermaksud batu permata.  Dari sinilah datangnya nama Jauhar yang dalam bahasa Arab membawa makna batu permata.  Daripada sebutan Jauhar inilah besar kemungkinan terbit nama Johor hingga sekarang.

Ini dikuatkan lagi dengan catatan Dr. Heer  Rouffaer dalam buku Taj Us-Salatin hasil kajian Khalid Hussain yang mengatakan jauhari pada mulanya bererti jauhar iaitu saudagar permata dan lama kelamaan perkataan jauhar itu disebut sebagai  johar lalu menjadi Johor sehingga hari ini.

Maka sebab itulah, Jauhar dipilih sebagai nama kepada buletin ini. Ia bertujuan bagi menyegarkan semula sejarah asal-usul Johor agar ia tidak dilupakan oleh generasi hari ini dan akan datang. Lagipun pada Kawan, disamping nostalgia sejarahnya, nama Jauhar ini ada nilai-nilai komersialnya yang tersendiri.

Terima kasih Kawan ucapkan kepada pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang membantu Kawan dan rakan-rakan Kawan dalam menterjemahkan maksud sebenar perkataan Jauhar itu. Kawan memang puji dengan komitmen YWJ ini yang begitu memelihara warisan bangsa dan ilmu sejarah negeri Johor. Kawan harap usaha ini akan berterusan selama-lamanya. Insya-Allah.

Untuk pengetahuan semua pembaca, majalah ini akan dikeluarkan dua bulan sekali dan ini bermakna ia akan mempunyai enam keluaran setahun. Majalah ini padat diisi dengan penerangan mengenai dasar-dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri Johor kepada rakyat di negeri ini. Selain itu, ia juga mengandungi ruangan santai seperti Ikon Johor serta Cara Johor.

Bagi keluaran pertama buletin Jauhar ini, ia akan memberi penekanan serta penerangan mengenai Bajet 2014 negeri Johor yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Dewan Negeri pada November tahun lalu. Umum telah sedia maklum bahawa Bajet 2014 negeri Johor dengan tema Muafakat Pembangunan dan Pengagihan ini banyak memberi manfaat kepada rakyat di negeri paling selatan di bumi Malaysia ini.

Bagaimanapun, segala inisiatif baru yang disediakan Kerajaan Negeri dalam Bajet 2014 itu akan menjadi sia-sia sekiranya rakyat tidak mempunyai maklumat mengenainya sekali gus gagal merebut peluang yang disediakan kepada mereka. Sebab itulah sidang editorial Jauhar memilih untuk merungkai serta mendapat penjelasan lanjut mengenai Bajet 2014 negeri Johor.

Diharapkan segala maklumat yang terdapat di buletin ini, mampu memberi manfaat kepada rakyat daripada pelbagai lapisan di negeri Johor. Ia selari dengan hasrat Dato’ Mohamed Khaled yang mahu setiap rakyat menerima maklumat tepat mengenai setiap inisiatif Kerajaan Negeri.

Akhir sekali, kawan harap usaha murni ini terus mendapat sokongan serta doa daripada semua. Insya-Allah kita jumpa lagi dalam catatan kawan yang akan dikeluarkan pada keluaran Jauhar akan datang. Salam Muafakat Johor kepada semua.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial