CUBAAN LOLOS DIRI BONGKAR PERBUATAN JENAYAH

image (3)

PONTIAN – Keengganan seorang pemandu memberhentikan kenderaan ketika ditahan anggota rondaan keselamatan kampung, akhirnya membawa kepada penemuan pelbagai jenis telefon bimbit, jam tangan dan dua paket syabu seberat 0.0196 gram. 

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.20 pagi di Kampung Puteri Menangis Ayer Baloi, semalam selepas kenderaan yang dipandu terbabas ke dalam parit.

“Suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi tidak mahu memberhentikan kenderaannya ketika ditahan oleh anggota rondaan keselamatan kampung. Malah suspek terus memecut laju sehingga terbabas ke dalam parit.

“Anggota rondaan keselamatan terbabit segera menghubungi polis dan sebaik tiba di lokasi kejadian suspek telah ditahan dan di bawa ke Balai Polis Ayer Baloi,” katanya kepada Sinar Harian semalam. 

Jelasnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek yang mempunyai rekod dadah itu, 12 telefon bimbit pelbagai jenis, enam utas jam tangan dan dua paket syabu yang disorokkan di dalam sebuah beg di bawah tempat duduk penumpang hadapan. 

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kereta jenis Perodua Myvi dipandu suspek pernah terlibat kes samun di kawasan Johor Bahru Selatan. 

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. Difahamkan anggota rondaan keselamatan yang bertugas seramai tujuh orang termasuk ketua kampung,” katanya – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial