Dahulukan Profesionalisme dan Elakkan Urusan Peribadi -MB

JOHOR BAHRU: Semua badan berkaitan sukan di Johor diseru supaya mengutamakan sikap profesionalisme dan mengelakkan urusan peribadi dalam sesi pemilihan atlet.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata dalam pemilihan atlet ini mereka haruslah mendahulukan atlet-atlet yang cemerlang dan berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada negeri.

Sikap profesionalisme hendaklah sentiasa diutamakan dan elakkan sikap yang mengutamakan kepentingan peribadi kerana ia adalah satu sikap yang boleh merosakkan arena sukan di negeri kita.

Hendaklah kita telus dan tunjukkan komitmen tinggi sesuai dengan tujuan kita melibatkan diri dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan sukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Johor 2013, di Persada Johor, di sini Rabu lalu.

Dalam ucapannya itu, Mohamed Khaled turut menyarankan semua persatuan sukan dan jurulatih supaya menyediakan perancangan memperkasakan pasukan dan atlet secara berterusan mengikut fasa-fasa berasaskan sains, hasil kajian ataupun pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih.

Jadikanlah pertandingan sukan di peringkat negeri mahupun nasional sebagai sasaran untuk mengukur prestasi atlet kita agar sentiasa berada di tahap optimum.

Semua persatuan seharusnya meneruskan program latihan melalui inisiatif sendiri ataupun dengan program latihan khas berterusan ini perlulah dibimbing dan diselia oleh Institut Sukan Negara,” katanya.

Bagi membangunkan lagi sukan di Johor, Kerajaan Negeri telah merancang untuk menaiktaraf infrastruktur sukan bagi menjadikannya bertaraf antarabangsa, antaranya bagi sukan olehraga, renang dan tenis.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor sedang menyusun semula pembangunan sukan di Johor. Ini antara lain akan melibatkan kerjasama pintar dengan Jabatan Pelajaran Negeri , institusi-institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan sukan, agensi kerajaan, korporat dan ibu bapa.

Komunikasi yang berkesan melalui perjumpaan yang kerap dilaksanakan dapat menguatkan persefahaman dalam pembangunan sukan. Dengan cara ini , lebih banyak bakat-bakat sukan di peringkat akar umbi akan dapat dikenalpasti untuk mewakili negeri Johor di kejohanan-kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial