Dakwaan Perlu Laporan Teknikal

Tee Siew Kiong (lima dari kanan) bersama peserta bola jaring Sukan Muafakat Johor DUN Pulai Sebatang di Kolej Kemahiran Belia Negara (KKBN), Pontian, Johor

PONTIAN 16 April – Kerajaan memerlukan laporan teknikal mengenai dakwaan nelayan bahawa bot mereka yang berlabuh di jeti baharu Pusat Perdagangan Pontian mengalami kerosakan akibat diserang sejenis ulat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Beliau berkata, dakwaan terbaharu yang menyatakan bot nelayan rosak disebabkan serangan ulat memerlukan laporan profesional dan bukan sekadar dakwaan semata-mata hanya kerana arahan dibuat untuk mengosongkan jeti nelayan.

“Arahan itu bukan dikeluarkan dua minggu lalu, tapi telah dibuat pada Mac tahun lalu dan mereka telah menyatakan persetujuan untuk berpindah seterusnya menandatangani aku janji dengan disaksikan pelbagai pihak,” katanya mengulas tindakan sekumpulan nelayan Rabu lalu yang membuat bantahan secara aman di jeti Pontian Kecil dengan mendakwa bot mereka rosak diserang sejenis ulat ketika berlabuh di jeti Pusat Perdagangan Pontian.

Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri ditemui selepas merasmikan Sukan Muafakat Johor Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Kolej Kemahiran Belia Negara (KKBN), dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, nelayan berkenaan perlu segera memindahkan bot-bot mereka dari jeti Pontian Kecil ke jeti baharu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan yang tertangguh sejak 10 tahun lalu disegerakan.

“Menerusi aku janji yang dibuat, mereka telah bersetuju untuk berpindah sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu, namun mereka masih enggan berbuat demikian.

“Pelbagai permintaan dan tuntutan seperti mendalamkan kawasan pendaratan, memasang kayu atau pancang dan bekalan air bersih telah ditunaikan oleh kerajaan tetapi mereka masih lagi berdolak-dalih,” katanya sambil meminta nelayan berkenaan bersikap rasional kerana pembinaan jambatan baharu merupakan projek yang terkandung dalam pembangunan tebus guna tanah Pusat Perdagangan Pontian.

Menurutnya, projek itu juga bertujuan melancarkan aliran trafik di jambatan sedia ada ke Jalan Kukup dan Johor Bahru terutamanya di persimpangan Pusat Perdagangan Pontian yang sesak pada waktu puncak dan musim perayaan.- UTUSAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial