Dato’ Samsol Bari bin Jamali

diari dato samsul bari

1.  Apakah cabaran Datuk sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Johor?

Sebenarnya tidak dinamakan cabaran dengan pertambahan ahli pembangkang dalam Dewan Negeri pada penggal ini. Yang penting adalah memastikan bahawa dasar dan perancangan kerajaan dapat diteruskan seterusnya dimanfaatkan oleh rakyat secara berterusan. Kita sebagai Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Johor  tidak bermakna kita mengiyakan sahaja. Yang betul kita kata betul, yang salah kita cakap salah. Tetapi kita hendak pastikan pembangkang yang hanya tahu membangkang ini tidak berlaku. Dahulu tiada pembangkang pun bukan bermakna kita tidak menegur kerajaan. Malahan kita kadang kala bertindak macam pembangkang. Kita maklum apa yang dirancang oleh kerajaan itu berdasarkan keperluan dan situasi semasa untuk kemajuan negeri dan keperluan rakyat jelata.

2.  Sebagai antara orang lama dalam Dewan Negeri Johor, bagaimana Datuk melihat senario persidangan dewan dahulu dan masa kini?

Tidak banyak perbezaan. Antara dahulu dengan sekarang, bezanya hanya daripada segi bilangan ahli pembangkang. Dalam dewan negeri kita tetap berperanan sebagai Ahli Dewan Negeri dan memperjuangkan hak-hak rakyat. Tidak timbul langsung soal hak-hak rakyat diketepikan.

3.  Apakah misi yang Datuk cuba terapkan di kawasan?

Saya tetap meneruskan apa yang dibawa ketika mula-mula menjadi wakil rakyat dahulu iaitu membangunkan potensi, memperkemas prasarana.  Bagi saya, Semarang ingin membangunkan semua potensi dalam semua aspek sama ada ekonomi, belia, pembangunan, pendidikan dan apa sahaja. Dalam masa sama, kita tidak dapat lari daripada proses memperkemaskan prasarana sedia ada. Ini adalah proses yang berterusan dan kita akan pastikan ia dilaksanakan.

4.  Bagaimana cara Datuk mendekati dan menyelesaikan masalah masyarakat di kawasan?

Saya lebih tekankan pendekatan yang berorientasikan perkhidmatan.

Maksudnya, kita akan tangani terus semua permasalahan yang dihadapi masyarakat tidak kira masalah itu kecil, mahu pun besar. Soal golongan orang kurang upaya (OKU), kemiskinan, sosial dan pelbagai lagi. Ini saya jadikan sebagai hala tuju perkhidmatan saya. Dalam erti kata lain, kita bersedia sepanjang masa untuk menangani masalah warga DUN Semarang.

5.  Setiap kali berbangkit isu nasional seperti kenaikan harga barang dan sebagainya, bagaimana pendekatan yang Datuk gunakan untuk menjelaskannya kepada rakyat di kawasan dan bagaimana reaksi mereka?

Saya sering mengingatkan mereka bahawa kerajaan dan parti memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat keseluruhannya. Sebab itu, saya menggunakan pendekatan berkonsep perkhidmatan. Kita memberi manfaat kepada mereka. Bila mereka rasa mereka mendapat manfaat daripada parti dan kerajaan, mereka akan dapat keyakinan bahawa perlunya mempertahankan dan menyokong kerajaan sedia ada. Memang ada rungutan di sana sini seperti terhadap kenaikan harga barang tetapi mereka ada pilihan.  Lebih-lebih lagi ramai antara mereka adalah petani, mereka akan mendapat harga (jualan hasil tani) yang baik.  Alhamdulillah mereka faham.

6. Bagaimana Datuk membahagikan masa sebagai wakil rakyat dan keluarga?

Saya ditakdirkan untuk memikul tanggungjawab yang saya rasa cukup mencabar. Pengerusi BNBBC, Pengerusi  PAC Negeri, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)  dan wakil rakyat. Terus terang saya nyatakan bahawa penggal ini lebih mencabar. Tetapi Alhamdulillah, berkat kerjasama daripada semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan agensi terlibat, Jawatankuasa Kampung dan semua pihak, saya boleh laksanakan tanggungjawab ini dengan baik. Saya juga bersyukur dan bertuah kerana keluarga sangat memahami mengenai karier saya. Boleh saya nyatakan bahawa tidak keterlaluan 75 peratus kerja seharian saya lebih tertumpu kepada masyarakat dan ini menuntut saya untuk lebih bijak mengatur masa seharian saya.

7. Apakah masalah yang sering diutarakan oleh pengundi di kawasan?

DUN Semarang berada dalam kawasan luar bandar. Jadi, ia tidak dapat lari daripada soal mempertingkatkan prasarana dan infrastruktur untuk memberi keselesaan kepada rakyat seperti jalan kampung, balai raya, masjid dan surau. Pada masa sama, kita juga melihat kepada program dan projek untuk membangunkan potensi yang saya sebutkan tadi.

8. Apakah harapan Datuk pada masa hadapan?

Harapan saya adalah untuk memberi kepuasan kepada masyarakat dan seluruh warga dalam DUN Semarang. Saya cuba untuk memastikan tidak ada satu pun masalah mereka diabaikan. Saya mahu mereka hidup lebih selesa dan seterusnya mendapat manfaat semaksimum mungkin daripada semua polisi dan perancangan kerajaan .

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial