Denggi di Johor Meningkat

daur hidup aedes aegypti

NUSAJAYA: Kes Denggi di Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 2,050 kes sejak Januari hingga bulan lepas berbanding 1,123 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata kadar kematian akibat denggi juga menunjukkan peningkatan dengan 12 kematian dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding lima kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kes denggi di negeri ini meningkat sebanyak 85 peratus dan fenomena El Nino dikhuatiri akan meningkatkan lagi kes tersebut kerana nyamuk aedes akan mencari tempat sejuk dan selesa seperti premis perniagaan, rumah dan bangunan awam untuk membiak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) dan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) dalam sesi penggulungan Dewan Negeri, di sini semalam.
Dalam ucapan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil langkah pro aktif dengan memperluas program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) kepada penduduk bagi memberi penerangan kesedaran berhubung denggi.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sudah menubuhkan 400 jawatankuasa Combi di seluruh negeri sebagai usaha menurunkan kes denggi.

Menjawab soalan daripada Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) berkenaan pembinaan tembok laut di Tanjung Piai,  Ayub berkata kerajaan sudah meluluskan projek pembinaan tembok berkenaan bagi mengelak hakisan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata fasa satu kerja-kerja pembinaan tembok tersebut sudah ditender dan sedang dalam proses pembiayaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Dijangkakan kerja terbabit akan bermula pada Ogos depan yang merangkumi pembinaan pelindung hakisan pantai sepanjang 1.3 kilometer dan pembinaan struktur pemecah ombak sepanjang 800 meter," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial