Deposit Beli Rumah Antara Yang Perlu Diberi Perhatian Dalam Bajet Johor 2017

umno

KULAI, 05 Okt – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai, Mohd Fadil Misnan berkata, pembentangan Bajet negeri Johor bagi tahun 2017 sudah pasti dinanti seluruh Bangsa Johor khususnya anak muda.

Ini kerana jelasnya, berdasarkan Bajet 2016, sudah pasti bajet kali ini akan jauh lebih baik apatah lagi di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

“Rakyat Johor sudah pasti tertunggu-tunggu apakah yang akan dibentangkan nanti demi kebaikan masyarakat. Sebagai anak muda, saya mempunyai beberapa pandangan yang mungkin dapat diselitkan dalam bajet itu kelak.

“Ini adalah antara suara anak muda akar umbi. Walaupun perkara ini mungkin remeh tetapi ia memberi impak yang besar sekiranya dilaksanakan,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Ujar Fadil, antara perkara yang mungkin memerlukan perhatian kerajaan negeri adalah masalah deposit membeli rumah.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan skim pinjaman perumahan yang baik melalui kerjasama dengan bank komersil.

Namun katanya, pakej skim itu akan lebih lengkap jika deposit 10 peratus yang diminta oleh pemaju dapat dihapuskan, diminimakan atau kos deposit pemaju ini diserap melalui skim pinjaman perumahan sedia ada atau pembeli hanya berurusan soal pinjaman hanya dengan pihal bank.

“Harga rumah Johor memang sudah mampu untuk dimiliki tapi masalahnya adalah deposit rumah. Inilah yang menghalang golongan muda untuk memiliki rumah. Bila telah lulus kita harus membayar 10 peratus pula harga rumah, bleum termasuk kos guaman.

“Kebanyakannya akan tersekat di sini dalam urusan pembelian rumah. Mungkin ada satu kaedah bagi membantu bagaimana menyelesaikan perkara ini ataupun tidak perlu membayar deposit dan jika perlu bayarpun ia dalam amaun yang rendah dan tidak membebankan terutama bagi mereka yang mahu memiliki rumah pertama.

“Jika ini dapat dilaksanakan maka lengkaplah sudah isu perumahan mampu milik ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berharap agar pembentangan bajet Johor 2017 ini akan turut mengumumkan apakah yang telah terlaksana hasil daripada pembentangan bajet yang lalu contohnya rumah mampu milik Johor dan berapa ramai yang telah mendudukinya.

Ini bagi mengambar dan membuktikan bahawa apa yang diumumkan dalam bajet yang lalu bukanlah sekadar satu perancangan kosong tetapi ia telahpun dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Perkara ke dua yang mungkin perlu diberi perhatian adalah pembinaan Gym Muafakat Johor yang pernah dibentang dalam bajet 2015.

“Pembentangan bajet dahulu ada diumumkan tentang pembinaan gym ini dalam usaha kerajaan menyahut seruan gaya hidup moden dan sihat khususnya bagi golongan muda namun sehingga kini perancangan ini masih belum berjaya dilaksanakan.

“Pembinaan gym ini sememangnya dinanti oleh ramai golongan muda kerana mereka tidak mampu untuk ke gym yang mengenakan bayaran yang tinggi. Oleh itu saya berharap agar perkara ini dapat dapat dimasukkan semula di dalam bajet akan datang.

“Jika tidak dapat dibina mengikut Parlimen, cukup baik jika dapat dibina mengikut daerah atau Pentadbiran PBT. Gym Muafakat Johor adalah satu gaya hidup sihat yang semakin mendapat tempat dihati rakyat khususnya anak muda,” ujar Fadil.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri memikirkan tentang penyediaan pusat asuhan kanak-kanak yang belum mencapai umur untuk ke tadika.

Katanya, kos bagi membayar pusat asuhan pada masa kini amat mahal dan ia amat membebankan mereka yang baru membina rumahtangga.

“Jika ini dapat dilaksanakan, saya percaya dan yakin ia akan dapat membangkit kehidupan rakyat yang lebih baik dan teratur,” ulasnya lagi. – UMNO Johor Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial