Dewan Negeri Johor Tolak Usul Penubuhan Jawatankuasa Terpilih Pantau Siasatan SPRM

ISKANDAR PUTERI, 9 Mac – Dewan Negeri Johor hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh ahli pembangkang untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Terpilih Pemantau Siasatan bagi memantau dan menyiasat berhubung isu rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Speaker Dewan, Tan Sri Mohamad Aziz menolak usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (DAP) kerana menegaskan kes tersebut masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia berkait dengan Peraturan Tetap Bilangan 45(7) yang mana perkara yang diusulkan oleh YB Pekan Nanas itu masih berada dalam timbangan undang-undang dan tidak boleh sekali-kali disebut.

“Kita sedia maklum siasatan sedang dijalankan oleh SPRM dan Kerajaan Negeri telah memberi jaminan bahawa kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM,” tegas beliau.

Keputusan penolakan tersebut menyebabkan dewan menjadi kecoh hampir 15 minit setelah Tung Siong dan ADUN pembangkang lain terus mendesak agar usul tersebut diterima.

Kedegilan Tung Siong yang berkali-kali tidak mendengar arahan daripada Speaker untuk duduk menyebabkan beliau diperintahkan supaya keluar dewan.

Sementara itu, Tan Sri Mohamad yang ditemui media selepas tamat persidangan berkenaan berkata arahan untuk ADUN Pekan Nenas keluar dewan adalah perkara biasa.

Menurut beliau, keputusan itu terpaksa diambil mengikut peraturan 50 Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Negeri Johor ekoran sikap degil Tung Siong sehingga mengganggu perjalanan dewan.

Peraturan itu menyatakan Ahli Dewan yang berkelakuan melampau hendaklah diperintahkan keluar dengan serta-merta dari Dewan Negeri.

“Tung Siong tidak dapat mengawal diri dan melanggar perkara-perkara yang mengganggu perjalanan persidangan dewan.

“Malah, apa yang dibawa olehnya adalah bercanggah dengan apa yang kita mahu bahaskan kerana semua ahli dewan maklum dengan peraturan tersebut.

Tambahnya lagi, tindakan Tung Siong meninggikan suara adalah semata-mata untuk menarik perhatian.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial