“DOKTOR SELFIE” MUNGKIN DITAMATKAN PERKHIDMATAN

Jabatan Kesihatan Siasat Gambar Selfie Doktor Dengan Ibu Bersalin

Putrajaya: Doktor wanita yang merakam gambar ‘selfie’ di sebuah hospital di Johor Bahru, berkemungkinan berhadapan tindakan ditamatkan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Tindakan terhadap doktor yang berkhidmat kurang dari lima tahun itu, bagaimanapun bergantung kepada hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan, yang antara lain juga, boleh digantung kerja atau dikenakan tindakan pentadbiran, katanya.

Mengulas tindakan doktor wanita yang merakam gambar selfie sambil menunjukkan isyarat 'peace' dengan pesakit dalam posisi bersalin, Dr Subramaniam berkata, ia perbuatan serius kerana melanggar etika sebagai pengamal perubatan.

"Bayangkan hendak menjadi doktor bukan senang kerana perlu mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja tinggi, tetapi kerana ‘selfie’ dalam beberapa saat, masa depan bakal gelap," katanya kepada pemberita di kementeriannya di sini, hari ini.

Perbuatan doktor itu mengundang kemarahan orang ramai terutamanya pengguna laman sosial yang turut mengecam aksi merakam gambar terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang turut mengecam tindakan yang mengaibkan maruah pesakit itu berkata, anggota keluarga atau suami pesakit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam memberi amaran keras kepada pegawai perubatan agar tidak mengulangi perbuatan sama serta mengingatkan bahawa mereka mempunyai etika kerja yang wajib dipatuhi.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Pergigian 1971 di Parlimen pada Oktober ini, bagi mewujudkan bidang kepakaran dalam profesion pergigian. Beliau berkata tujuan diwujudkan bidang kepakaran pergigian bertujuan untuk memantapkan lagi perkhidmatan kesihatan di negara ini dan menangani penyalahgunaan gelaran pakar pergigian.

"Dengan pindaan akta ini, doktor gigi yang mempunyai kepakaran bidang tertentu seperti rawatan mulut dan gusi serta pembedahan tulang di muka perlu berdaftar di bawah pihak kementerian," katanya. Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial