DOLLAH BUAT KEJUTAN, KETEPIKAN SAFEE, FADHLI, MAHALI

Safee-Sali

"Rombakan demi pasukan negara," itu yang mungkin terpaksa dilakukan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dalam memberi nafas baru kepada skuad negara untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019.

Dollah membuat sedikit kejutan apabila mengenepikan beberapa pemain kebiasaan seperti Safee Sali, Fadhli Shas, Mahali Jasuli dan Farizal Marlias.

Beliau sebaliknya menampilkan lima muka baru termasuk tiga pemain Harimau Muda B di samping memanggil lima lagi pemain yang diberi peluang beraksi menentang Liverpool baru-baru ini.

Percaturan Dollah itu tampak menarik setelah kehadiran beberapa nama besar sebelum ini tidak mampu mengubah nasib Harimau Malaya. 

"Tidak dinafikan pemain-pemain itu nampak menyerlah ketika menentang Liverpool. Kebanyakannya kita kekalkan, cuma ada tambahan pemain. Persiapan kita agak terlalu singkat," katanya.

Skuad negara berdepan ujian getir apabila bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi selepas hambar ketika dua perlawanan pertama.

Dollah bagaimanapun bakal menghadapi masalah untuk melakukan persediaan apabila empat pemain Pahang dan tiga pemain Johor Darul Takzim akan melapor diri lewat selepas terlibat dengan Piala AFC.

"Itu kesukaran bagi saya memandangkan mereka itu dianggap pemain tonggak. Bagaimanapun, saya percaya dengan kemasukan pemain-pemain muda yang diserapkan ke pasukan ini akan memainkan peranan," tambahnya.- ASTRO AWANI

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial