Kapal Kontena Berlanggar Mengakibatkan Tumpahan Minyak Di Timur Selat Johor, Singapura

JOHOR BAHRU, 5 Jan – Dua buah kapal kontena berlanggar di timur Selat Johor di luar pelabuhan Pasir Gudang malam tadi yang mengakibatkan tumpahan minyak dianggarkan sebanyak 300 tan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat yang mengesahkan kejadian itu berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11.01 malam itu melibatkan dua kapal kontena iaitu APL Denver dan Wan Hai.

“Kapal Han Wai dilaporkan telah mengalami kerosakan terputus bekalan elektrik menyebabkan kapal tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki (milik APL Denver),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelanggaran itu telah mengakibatkan sejumlah minyak tumpah dari tangki milik APL Denver.

Menurut Ayub, hasil pemantauan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kebanyakan tumpahan itu memasuki kawasan perairan Singapura terutama Pulau Ubin.

JAS kini sedang membuat siasatan ke atas kedua-dua kapal terbabit.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Pelaburan Johor (LPJ) pula berkata pasukan mereka sudah berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden.

Beliau juga berkata segala tindakan awal telah diambil, namun mereka masih menantikan laporan penuh daripada pihak terlibat serta pihak berkuasa.

Menurut laporan media Singapura hari ini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dilaporkan sebagai berkata kapal Wan Hai 301 didaftarkan di republik itu manakala APL Denver didaftarkan di Gibraltar.

Laporan berita itu juga berkata tumpahan minyak akibat kerosakan pada tangki APL Denver itu dianggarkan kira-kira 300 tan.

Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) pula dalam satu kenyataan berasingan pula berkata ketika kejadian, kapal APL Denver sedang bersauh di perairan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

“Kapal Wan Hai 301 pula dari luar, hendak masuk ke pelabuhan, sebelum melanggar sebelah kanan tangki kapal APL Denver,” kata Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan.

Kedua-dua kapal itu kini berada di jeti Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata beliau.

Sementara itu, tumpahan minyak yang masih belum dikenal pasti jumlahnya, kini dikawal oleh Lembaga Pelabuhan Johor dan MPA di perairan masing-masing.

Bagaimanapun, Adon berkata kapasiti tangki minyak APl Denver berjumlah 300 metrik tan.

Di SINGAPURA, keadaan trafik perkapalan di timur Selat Johor dan operasi di pelabuhan Singapura tidak terjejas selepas pelanggaran dua kapal kontena di luar pelabuhan Pasir Gudang, Johor, demikian menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), semalam.

Pelanggaran itu melibatkan kapal kontena WAN HAi 301 yang berdaftar di Singapura dan kapal kontena APL DENVER yang berdaftar di Gibraltar.

Dalam satu kenyataan di sini, MPA beberapa tompokan minyak kelihatan dan tumpahan itu dapat dikawal di luar bahagian barat Pulau Ubin.

Menurut pihak berkuasa, ia telah menggerakkan lapan kapal antipencemaran dengan keupayaan mememancutkan bahan penyerak bagi membersihkan tumpahan minyak. Tiada kecederaan dilaporkan.

MPA berkata sebagai negara tempat WAN HAI 301 didaftarkan, ia juga akan menyiasat punca kejadian itu.

Menurut MPA, APL DENVER melaporkan satu daripada tangkinya mengalami kerosakan menyebabkan tumpahan minyak dianggarkan sebanyak 300 tan.

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah menggerakkan empat kapal antipencemaran ke tempat kejadian dan membendung kawasan di sekitar kapal APL DENVER bagi mengawal tumpahan minyak, kata kenyataan itu.

MPA berkata ia telah dimaklumkan oleh LPJ mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.50 malam tadi. – BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial