Dua langkah hadapi El-Nino

jauhar

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri akan melaksanakan dua kaedah sebagai persiapan fenomena El Nino yang dijangka berlaku Jun hingga September di Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, berkata kaedah pertama yang akan dilaksanakan adalah dengan menghalang pengambilan air sungai secara haram di seluruh negeri Johor.

Katanya, Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ)  akan memantau sepanjang sungai dan empangan dengan kerjasama SAJ, pentadbir tanah daerah serta polis dan sekiranya berlaku pengambilan air secara haram, oleh penternak, petani dan kilang, tindakan tegas akan diambil dan didakwa kerana menceroboh tanah kerajaan.

 "Kaedah seterusnya bagi memastikan keperluan air mencukupi pada musim kemarau, muatan simpanan air di empangan perlu berada sekurang-kurangnya 80 peratus daripada muatan. Sekiranya simpanan air menyusut kepada 40 peratus, maka penjadualan bekalan air kepada pengguna akan diaktifkan.

Kemungkinan berlakunya banjir ketika El Nino adalah kecil, maka empangan yang berfungsi sebagai tebatan banjir perlu menyimpan air pada aras maksimum untuk digunakan ketika fenomena ini berlaku dalam tempoh Jun dan dijangka berlarutan hingga September depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) berhubung rancangan dan strategi kerajaan negeri menghadapi El Nino pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-13, di sini semalam.

Hasni berkata, bagi memenuhi bekalan air bersih kepada pengguna pada musim El Nino, SAJ Holdings (SAJ) akan memantau rapi paras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan di seluruh negeri.

"Sekiranya paras air menyusut kepada tahap amaran, Pelan Tindakan Kecemasan Bekalan Air SAJ akan diaktifkan dan menyediakan keperluan logistik bagi bekalan air secara berjadual serta penghantaran bantuan bekalan air dengan menggunakan lori tangki terus kepada pengguna.

“SAJ mempunyai 25 lori tangki dan jumlah akan ditambah sekiranya ada keperluan dengan mendapatkan khidmat daripada syarikat swasta manakala sejumlah 192 tangki statik dalam keadaan tunggu sedia.

"Kerajaan negeri juga akan mendapatkan bantuan bekalan air bersih daripada daerah bersebelahan, namun sekiranya keadaan semakin berlarutan, kaedah terakhir iaitu perancangan bagi melaksanakan bekalan air bekalan air berjadual akan dilakukan dengan mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial