Dua Pelan Utama akan diumumkan tidak lama lagi

IMG_6061JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri akan mengumumkan dua pelan utama dalam tempoh terdekat bagi memastikan keseimbangan pembangunan yang pesat berlaku di negeri ini dari aspek pelaburan, infrastruktur, sosial dan kerohanian.

Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau yakin dengan pelancaran dua pelan itu iaitu Pelan Suara Hati Johor dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor itu dapat memberi limpahan pembangunan di luar Wilayah Iskandar.

Katanya, Pelan Suara Hati Johor bertindak sebagai satu pelan bagi menangani tujuh fokus utama yang diutarakan rakyat seperti perumahan, kesihatan; ekonomi dan keusahawanan; agama, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat; keselamatan serta infrastruktur.

"Bagi melihat keberhasilan semua fokus itu setiap Pengerusi Jawatankuasa akan bertanggungjawab bukan saja menetapkan Indeks Prestasi Kerja (KPI) masing-masing bahkan pada masa sama mengukur KPI itu sendiri.

"Bagi Pelan Strategik Pertumbuhan Negeri, kita bakal melihat Johor menjadi negeri yang berpendapatan tinggi bukan saja menerusi pelaburan, malah dari pertumbuhan ekonomi yang mampan dipacu teknologi dan infrastruktur moden, modal insan serta mewujudkan peluang dan ekosistem perniagaan lebih kompetetif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Media Johor 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau yakin dan percaya media massa masih menjadi rujukan utama kepada rakyat di negara untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sesuatu isu.

"Sejak kebelakangan ini terlalu banyak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kemudahan media sosial dengan menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan.

"Maka itu, pengamal media perlu mempunyai sifat tanggungjawab dan beramanah dalam menyampaikan fakta yang benar lagi tepat kepada rakyat agar mereka dapat membuat penilaian sama ada sesuatu isu itu benar atau salah," katanya.

Katanya, beliau turut melihat signifikan dan pentingnya peranan media dalam membantu pentadbirannya iaitu memberikan maklumat dan mempromosikan kepada rakyat Johor tentang pendekatan yang akan beliau ketengahkan.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial