DUA SAHABAT JELAJAH KE SELURUH NEGARA KIBAR BENDERA “MERAH BIRU”

PONTIAN – Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan ketika menjelajah ke seluruh negara menaiki motosikal, kecekalan dua sahabat membuktikan mereka mampu mengharumkan nama daerah Pontian.

Muhammad Riduan Abd Kadir, 26 dan Mohd Fazli Ismail, 28, yang memulakan misi jelajah ke 12 negeri pada 14 September lalu berjaya menamatkan misi enam hari itu di Penghujung Asia Tanjung Piai.

Jika sebelum ini, konvoi bermotosikal menggunakan motosikal berkuasa besar, bagi kedua-dua sahabat berasal dari Kampung Parit Markom Benut ini, mereka hanya menggunakan motosikal jenis Honda EX5 untuk jelajah mereka.

Menurut Muhammad Riduan, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan jelajah ke seluruh negara walaupun terlewat sehari dari tarikh jangkaan kerana menghadapi masalah kerosakan enjin motosikal di Pulau Pinang.

“Ketika di Pulau Pinang, pada hari ketiga, enjin motosikal kami rosak. Mujur Mohd Fazli ada pengalaman baiki motosikal dan kerosakan dapat dibaiki.

“Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya dan berjaya menamatkan jelajah ini,” katanya.

Kedua-dua sahabat itu tiba di Tanjung Piai dan disambut Yang Dipertua Majlis Belia daerah Pontian, Mohd Shahril Salleh dan Ahli Parlimen Belia Malaysia negeri Johor, Mohd Hairul Azlan Mohd Khodir.

Jelas Muhamad Riduan, pengalaman menunggang motosikal berkuasa rendah dari selatan ke timur dan kemudian ke utara memberi keseronokan dan pengalaman tidak ternilai.

“Kami disambut mesra penduduk tempatan dan ahli Kelab Crew Of 5×5 dan Kelab Pejuang 5X5. Kami berdua dilayan baik seperti keluarga.

“Ini bukti keharmonian negara yang tidak ternilai. Di mana sahaja kita pergi, pasti akan disapa layanan mesra,” katanya.

Dia berharap agar kejayaan ditempa mampu memberi dorongan kepada golongan belia luar bandar untuk mencipta kejayaan.

“Walaupun kami tidak berpendidikan tinggi, kami berazam menjadi golongan muda yang berwawasan dan bertanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara.

“Kami harap, mampu menarik minat kelab motosikal dari seluruh negara ke Pontian dan Penghujung Benua Asia yang terletak di Taman Negara Johor Tanjung Piai sebagai lokasi kunjungan utama,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial