Ebola, Jabatan Kesihatan Johor tetap adakan saringan: Ayub Rahmat

unnamed (2)KOTA ISKANDAR: Jabatan Kesihatan Johor tetap menjalankan saringan kesihatan kepada pengembara yang tiba di Malaysia walaupun pintu masuk antarabangsa di negeri ini tiada penerbangan terus dari negara dijangkiti penyakit Ebola (EVD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, saringan kesihatan itu dilakukan khusus kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda dan gejala demam serta mempunyai sejarah perjalanan dari negara berisiko EVD dalam tempoh 21 hari.

"Penggunaan thermal scanner bagi mengesan gejala demam telah dipasang di pintu masuk antarabangsa.

"Jabatan mengambil kesempatan penerbangan-penerbangan pulang jemaah haji tahun ini, untuk memperbaiki tindakan-tindakan kawalan di pintu masuk," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 13 di sini semalam.

Katanya lagi, pihaknya turut melatih anggota kesihatan dan perubatan dalam menguruskan kes yang disyaki dijangkiti EVD.

"Beberapa siri latihan dan simulasi telah dan akan dijalankan oleh jabatan ini kepada kakitangan terutama petugas barisan hadapan. Ini melibatkan juga petugas hospital swasta.

"Hospital-hospital tertentu telah dikenalpasti untuk mengendalikan atau menjalankan rawatan ke atas pesakit yang disyaki dijangkiti EVD," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak jabatan juga membekalkan Personal Protective Equipment (PPE) kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang terlibat mengendalikan kes disyaki dijangkiti EVD.

"Taklimat EVD peringkat negeri telah dijalankan pada 30 Oktober lalu melibatkan pelbagai agensi seperti Lembaga Tabung Haji, Jabatan Imigresen, institut pengajian tinggi awam dan swasta serta lain-lain," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial