Ekonomi Bebas Bantu Pacu Pertumbuhan

Khaled2Oleh Mohamed Khaled Nordin

Apabila Johor mengutarakan hasrat untuk menjadi kuasa ekonomi baharu negara dan kuasa Selatan Malaysia, ramai pihak yang menyangka bahawa ia hanya berkisar mengenai membawa masuk lebih banyak projek mega, pembangunan infrastruktur dan pelaburan asing.

Walaupun pandangan itu tidak sepenuhnya salah, ia tidak tepat. Jika ingin menjadi kuasa ekonomi baharu terjelma, perkara seharusnya kita fokuskan adalah memastikan wujudnya pertumbuhan berterusan ekonomi.

Perkara ini membawa kepada penekanan sektor keusahawanan sebagai penyumbangnya. Ketika melancarkan program Gerak Usahawan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini, saya menggariskan tiga faktor penting mengapa keusahawanan perlu digerakkan khususnya di Johor.

Kami mahu merancakkan pertumbuhan. Pertumbuhan ekonomi berterusan dan sihat adalah mustahak dalam mana-mana ekonomi. Tidak kiralah bersaiz besar atau kecil, di negara maju atau membangun, apatah lagi di negara-negara yang lebih jauh ketinggalan.

Melalui pertumbuhan, akan wujud pekerjaan. Apabila wujud pekerjaan akan wujudlah pendapatan. Apabila wujudnya pendapatan, maka datanglah kesejahteraan dan kemakmuran, yang menjadi sasaran utama dalam mana-mana sistem ekonomi.

 

Sektor PKS Beri Impak Besar

Perkara ini dapat kita capai dengan merancakkan keusahawanan pada pelbagai peringkat dan sektor khususnya melalui keusahawanan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Walaupun dilabelkan sebagai kecil dan sederhana, sektor ini memberi impak besar kepada ekonomi secara keseluruhan.

Malah jika kita perhatikan, debat presiden pertama antara Hillary Clinton dan Donald Trump minggu lalu, keusahawanan dalam perusahaan kecil dan sederhana ini menjadi antara perkara yang diberikan perhatian, walaupun saiz ekonomi mereka amat besar dan maju.

Perkembangan ini didorong oleh beberapa sebab khusus dan praktikal.

Pertama, PKS adalah sektor ekonomi rancak dan sentiasa berkembang. Ia belum tepu dan tidak akan matang dengan segera. Jadi potensi ia terus dikembangkan sentiasa terbuka luas dan menarik banyak inovasi dan pelaburan baharu yang menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi.

Kedua, PKS ini rata-ratanya dijayakan generasi muda atau baharu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan. Maka, ia adalah satu platform sihat dan sarat dengan eksplorasi idea-idea kreatif dan inovatif. Justreru, penganjuran Gerakan Usahawan Johor tahun ini diberikan nafas baharu, iaitu dengan membabitkan banyak kerjasama secara lebih sistematik antara agensi keusahawanan kerajaan dan usahawan muda. Kerjasama begini amat penting dalam membantu kita berdepan dengan iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, juga berhadapan dengan gerakan ekonomi bebas atau independent economy, yang sedang rancak melakar corak baharu keusahawanan secara global.

Ketiga, PKS ini dilihat sebagai antara jaringan ekonomi penting, kerana kebanyakan aktiviti keusahawan PKS adalah dalam sektor yang membabitkan keperluan runcit harian. Justeru, aliran barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa mendapat permintaan stabil dan berterusan.

Justeru, jika Johor ingin mempunyai aktiviti ekonomi yang rancak membabitkan ramai anak muda yang kreatif dan inovatif, maka keusahawanan mestilah digerakkan secara serius, radikal dan terancang.

Keusahawanan instrumen kemakmuran kedua, keusahawanan ini adalah sektor yang berupaya menjadi instrumen pengagihan kemakmuran yang lebih seimbang. Dengan menawarkan pelbagai insentif dan infrastruktur keusahawanan, kita secara tidak langsung melakukan dua perkara.

 

Mesin, Robot Ganti Pekerja

Pertama, memperkemaskan proses penghakupayaan masyarakat lebih sistematik dan berfokus. Kedua, kita sedang melakukan pengagihan kemakmuran secara seimbang. Ketiga, pengembangan sektor keusahawanan adalah sebagai persediaan untuk masyarakat berhadapan dengan dunia teknologi khususnya yang menghapuskan fungsi fizikal manusia.

Menerusi laporan yang dibentangkan pada Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland pada Januari yang lalu, dijangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang, mesin dan robot akan menggantikan lebih 5.1 juta pekerjaan. Angka ini didasarkan pada kaji selidik oleh ‘Chief Human Resources Officer’ dan ‘Top Strategy Executives’ di sembilan kategori industri meliputi 15 negara ekonomi terbesar di dunia.

Australia, China, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang secara kolektifnya menyumbang sekitar 65% dari jumlah pekerja dunia.

Banyak sektor yang selama ini menawarkan pekerjaan akan terkesan teruk terutama sektor pembuatan, pentadbiran, pengeluaran, pembinaan dan sektor kreatif serta inovasi.

Untuk berdepan gelombang ini, kita mesti mempersiapkan masyarakat kita di Johor. Keusahawanan adalah sektor terbaik. Di sinilah kita melihat mengapa konsep ‘independent economy’ yang dinayatakan tadi perlu disuburkan.

Ia membuka ruang dan peluang kepada masyarakat mencipta pendapatan sendiri melalui perniagaan. Malah, ketika kejatuhan pasaran kewangan di United Kingdom sebelum ini, sektor pasaran ‘hipster’ inilah yang banyak membantu untuk memulihkan keadaan. Terutamanya dalam memerangi pengangguran dalam kalangan golongan pekerja muda. Di Johor sendiri, ia mula menjadi ‘sub-genre’ keusahawanan yang kian mendapat tempat di kalangan usahawan muda kita.

Kita harus menggerakkan lagi usaha melahirkan seramai mungkin usahawan berjaya khususnya dalam PKS. Hal ini penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari dan inklusif. Saranan ini bukan sahaja untuk kemajuan di Johor, tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya. – Berita Harian

Penulis ialah Menteri Besar Johor

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial