ELAK AKTIVITI LIBATKAN UNTA, BIMBANG WABAK Mers-CoV

image (8)

SEGAMAT – Jemaah haji dari negeri ini yang akan bertolak ke Mekah dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang aktiviti melibatkan unta kerana bimbang dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, salah satu faktor pembawa sindrom tersebut adalah kutu pada unta yang mudah merebak ke badan manusia.

“Larangan melawat ladang unta juga telah dikeluarkan kerana kes Mers-CoV di negara Asia Barat termasuk Mekah masih mencatatkan jumlah yang tinggi dan kerajaan negeri tidak mahu rakyat negeri ini mengambil risiko.

“Jika demam dan ada tanda jangkitan respiratori seperti batuk atau kesukaran untuk bernafas semasa di sana (Mekah), jemaah haji perlu segera mendapatkan rawatan dan maklumkan kepada kakitangan Tabung Haji (TH),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meraikan 76 bakal haji Parlimen Sekijang di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sekijang, di sini, petang kelmarin.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata, pada April tahun lalu, seorang lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat yang baru pulang dari umrah meninggal dunia akibat virus berkenaan menjadikan kes pertama kematian akibat wabak tersebut ketika itu.

“Akibat daripada kes tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terpaksa membuat pemeriksaan terhadap kira-kira 1,300 orang termasuk penduduk kampung berkenaan, saudara maranya selain beberapa lagi jemaah umrah yang sama penerbangan dengannya.

“Kami juga melakukan simulasi dan pemeriksaan terhadap jemaah haji dan pelancong asing yang mendarat di Lapangan Terbang Senai bagi mengesan wabak tersebut namun tiada sebarang jangkitan yang dikesan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan jemaah haji yang mengalami penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi dan jantung supaya menyediakan keperluan ubat-ubatan mereka dan meneruskan pengambilan ubat dengan tetap.

Menurutnya, sebarang pemberhentian pengambilan ubat juga perlu mendapat nasihat daripada doktor dan tidak mahu ibadah haji mereka terjejaskan disebabkan masalah berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial