EMPAT KPI PANEL KESIHATAN DIWUJUDKAN

MUAR – Empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan diletakkan sebagai penanda aras untuk menambah baik peranan dan rancangan aktiviti panel penasihat klinik kesihatan di seluruh negeri dalam tahun ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Fatimah Othman berkata, empat KPI itu iaitu peningkatan penjagaan warga emas, pengurang­an berat badan dalam kalangan murid sekolah, aktiviti promosi saringan tibi dan aktiviti kesihatan reproduktif untuk remaja.

“Semua KPI ini sudah dikupas secara terperinci dalam pembentangan oral dalam konvensyen hari ini. Kita sedia maklum objektif utama penubuhan panel kesihatan ialah mewujudkan saluran komunikasi dua hala antara anggota masyarakat dan anggota kesihatan.

“Di samping itu, ia juga bagimenggalakkan penglibatan sepenuhnya masyarakat dalam penjaga­an kesihatan,” katanya berucap dalam Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Daerah kali Ke-3 2015 di Sekolah Dato’ Seri Amar Diraja, di sini kelmarin.

Konvensyen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.
Fatimah seterusnya memuji Panel Penasihat Klinik Kesihatan Muar yang mencapai aras KPI yang digariskan dengan pelaksanaan aktiviti seperti Karnival Hari Tibi Sedunia, Program Cegah Tibi Dalam Komuniti, program Jalinan Kasih, Kesihatan Wanita, Khasiat Ramadan, Sinar Syawal, Kesedaran Tembakau dan Penyusuan Ibu.

Katanya, daerah ini kini mempunyai 154 panel penasihat yang didaftarkan di bawah 11 klinik kesihatan dalam usaha membantu memberi kesan positif terhadap kesihatan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ayub berkata, bukan sahaja panel kesihatan perlu terlibat tetapi semua pihak perlu memainkan peranan untuk me­lakukan transformasi dalam penjagaan kesihatan.

“Sokongan dan sumbangan semua pihak perlu digandingkan dalam memerangi wabak dan pe­nyakit berjangkit atau tidak berjangkit yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini,” ujar­nya.

Penglibatan masyarakat kata­nya, adalah elemen utama dalam sistem kesihatan negara dan panel kesihatan akan berkomunikasi dan menyampaikan mesej kesihatan kepada penduduk setempat.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial