Enam Kluster Diberikan Tumpuan Dalam Pelan Tindakan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada enam kluster dalam pelan tindakan yang akan dirumus bagi menjadikan Johor sebagai hab kesihatan serantau.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata enam kluster itu merangkumi perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan sokongan, penjagaan orang tua, modal insan, perkilangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sudah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji pelan tindakan bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Semua fokus berkenaan diraih hasil daripada kajian KPJ Healthcare Bhd dalam melihat potensi negeri Johor sebagai hab kesihatan di rantau ini,” katanya.

Tambahnya lagi,  potensi berkenaan dapat dilihat dengan adanya kira-kira 20 buah hospital di Iskandar Malaysia, dan tiga daripadanya adalah milik KPJ.

"Semua ini kerana lokasi Johor yang sangat strategik. Selama ini pun pasaran hospital di negeri ini menjangkau hingga ke Batam, Tanjung Pinang dan Pulau Karimun, Indonesia yang mana penduduknya menjadikan negeri ini sebagai pilihan utama untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

"Malah, lokasi Johor yang terletak bersebelahan dengan sebuah negara maju seperti Singapura juga perlu diambil manfaat daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, di sini Khamis lalu.

Mohamed Khaled berkata, kepakaran KPJ Healthcare amat membanggakan terutamanya sebagai anak syarikat JCorp yang giat memperluaskan perkhidmatan kesihatan pakar di Johor.

"Malah lebih membanggakan apabila reputasi KPJ sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan pakar kini melangkaui sempadan dengan hospital di Thailand, Indonesia dan Bangladesh, serta sebuah pusat penjagaan warga tua di Australia," tambahnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial