Eratkan Kerjasama Lahirkan Graduan Berkualiti – Khaled

ISKANDAR PUTERI, 18 April – Hubungan erat antara akademia dan pemain industri adalah perkara penting bagi melahirkan graduan yang berkualiti demi kelangsungan pembangunan negeri.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, adalah penting bagi siswazah untuk didedahkan kepada latihan amali yang sudah pasti akan memberi nilai tambah melalui pengalaman yang tidak akan dapat dipelajari dalam dewan kuliah.

Manakala, pemain industri sendiri akan dapat menilai siswazah yang bersama mereka sama ada menepati keperluan untuk ditawarkan pekerjaan.

“Saya sentiasa mengharapkan pihak universiti untuk keluar dan bekerjasama dengan industri dan mereka yang di luar lingkungan kampus. Bekerjasama untuk memeta jalan terbaik membantu membgangunkan negeri, rakyat dan masyarakat kita,”

“Dan saya juga sentiasa berpesan kepada pihak industri, bahawa akhirnya, sasaran mereka tidak seharusnya pada keuntungan semata-mata. Sebaliknya, bukalah ruang dan peluang untuk memberi sebanyak-banyaknya kepada masyarakat kita.”

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Legoland Malaysia Resort, hari ini.

Tambah beliau, kerjasama sedemikian adalah penting, lebih-lebih lagi dalam konteks ekonomi yang sedang pesat membangun seperti negeri Johor, yang mendambakan bekalan graduan berkualiti untuk terus memacu kemajuan negeri.

Beliau menegaskan, kerjasama antara akademia dan pemain industri mesti dimanfaatkan untuk mencari jalan mengangkatnya ke suatu bentuk dan tahap yang lebih bermakna.

“Saya tidak mahu kerjasama antara Legoland dan UiTM ini menjadi kerjasama yang sekadar cukup syarat atau asal ada. Tetapi ia harus menjadi satu kerjasama yang memberi impak yang besar dan berterusan,”

“Lebih banyak pihak perlu diajak untuk turut serta. Ini kerana, lebih banyak pihak terlibat, lebih banyak sumber yang akan dapat dikumpulkan,”

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dalam pada itu berkata, pendekatan sebegini adalah penting bagi menyediakan para siswazah untuk memasuki alam pekerjaan.

“Ini secara langsung akan meningkatkan lagi keboleh-pasaran pelajar-pelajar UiTM. Pengalaman sebegini adalah pengalaman yang begitu penting bagi pelajar meningkatkan skill set mereka. Kita bekerjasama dengan Legoland bukan sahaja untuk menempatkan pelajar kita di sini, tetapi kita juga mencari jalan untuk meningkatkan sektor pelancongan melalui penyelidikan, latihan serta beberapa kerjasama lain untuk manfaat kita bersama.”

Sentimen itu dipersetujui Pengarah Sumber Manusia Legoland Malaysia Resort, Murni Masrom yang menyatakan persekitaran pekerjaan yang ceria di taman tema itu akan memberi pengalaman yang bermakna kepada pelatih industri.

“Kami meletakkan latihan industri sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan pelajar mendapat pendedahan sebenar alam pekerjaan dan lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Kami yakin, dengan keupayaan yang ada, banyak pengalaman berguna mampu diserap melalui latihan industri,”

Sehingga kini, seramai 35 pelajar UiTM dari Kursus Pengurusan Dan Perkhidmatan Makanan, telah menjalani latihan industri mereka di Legoland.

Semenjak dibuka pada 2012, Legoland telah menawarkan peluang latihan industri kepada 247 mahasiswa dari lebih 40 buah kolej dan universiti dari seluruh Malaysia.

Latihan industri dibuka kepada pelajar-pelajar dari bidang seperti Pengurusan Hotel, Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Seni Kulinari, Perakaunan, Jualan dan Pemasaran, Sumber Manusia, Kejuruteraan dan Pengurusan Operasi.

Menteri Besar Dato' Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Majlis Tandatangan MOU antara Legoland Malaysia Resort dan UiTM
Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Majlis Tandatangan MOU antara Legoland Malaysia Resort dan UiTM
Para siswazah UiTM dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Para siswazah UiTM dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial