Exco Johor Bercuti, Fokus Siasatan SPRM

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md. Jais Sarday

ISKANDAR PUTERI, 1 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi mengambil keputusan untuk bercuti sementara bermula hari ini bagi memberi fokus kepada membantu siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Jais Sarday, permohonan cuti itu diluluskan oleh Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin, sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Iskandar hari ini.

“Segala urusan kerja portfolio beliau juga telah ditangguhkan buat masa ini. Tiada perkara berhubung perumahan dan kerajaan tempatan dibincangkan kepada kerajaan negeri buat masa ini.

“Datuk Latif telah datang berjumpa dengan Menteri Besar 9.30 pagi tadi, untuk memaklumkan yang dia memohon cuti disebabkan oleh kes yang kita sedia maklum, yang membabitkan keluarga dan juga pegawai dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tempoh cuti beberapa perkara berhubung portfolio yang dipegang oleh Abd. Latif akan dirujuk kepada Khaled dan Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani.

“Segala perkara yang melibatkan dasar perumahan dan kerajaan tempatan ketika ini akan dirujuk kepada Menteri Besar.

“Manakala, perkara-perkara melibatkan pentadbiran akan dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani,” katanya.

Md. Jais turut mengulangi pendirian kerajaan negeri yang memberi sepenuh kepercayaan kepada SPRM dalam menjalankan siasatannya.

“Malah mana-mana kakitangan kerajaan yang diminta untuk membantu siasatan, kami meminta mereka supaya memberi kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini,” tegas beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial