FELDA TERUS BANTU LAHIRKAN RAMAI ATLET PELAYARAN DI JOHOR

005

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Felda berhasrat membantu Persatuan Pelayaran Johor secara berterusan untuk melahirkan lebih ramai atlet pelayaran kompetetif khususnya dalam kalangan anak-anak peneroka Felda.

Pengarah Besarnya, Datuk Hanapi Suhada berkata beliau mahu melihat lebih ramai anak Felda mencipta kejayaan dalam sukan pelayaran negara sehingga peringkat antarabangsa.

Beliau menarik perhatian bahawa Felda selaku penaja utama penganjuran Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka Johor secara konsisten menyumbang RM100,00 setiap tahun sejak 2011.

"Felda akan memberi bantuan ini secara berterusan. Kami bangga beberapa atlet negara dalam kalangan anak Felda ini telah mencipta kejayaan dalam sukan pelayaran yang sangat mencabar," katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini pada Selasa.

Terdahulu, Hanapi menyerahkan penajaan RM100,000 kepada Timbalan Presiden Persatuan Pelayaran Johor Lukman Abu Bakar untuk kejohanan perahu layar berkenaan tahun ini.

Sehingga kini lebih 30 anak Felda berusia tujuh tahun hingga 17 tahun mengikuti program latihan perahu layar di Tanjung Leman, Johor.

Persatuan Pelayaran Johor juga berjaya melahirkan atlet bertaraf antarabangsa seperti Nuraisyah Jamil dan Naquib Eiman Shahrin dengan kejayaan dua pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

Sejumlah 150 atlet dari 15 persatuan dan kelab seluruh negeri termasuk Indonesia akan mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing pada kejohanan berkenaan.

Kejohanan itu merupakan sirkit kelapan daripada 12 sirkit sepanjang tahun bagi menentukan ranking atlet perahu layar kebangsaan menerusi Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA). — BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial