Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 22-26 Feb

JOHOR BAHRU, 13 Feb. – Kira-kira 200,000 pengunjung dijangka memeriahkan edisi ke-22 Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang dari 22 hingga 26 Feb di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata festival lima hari itu juga akan disertai lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata peserta antarabangsa membabitkan 200 orang adalah dari 40 negara termasuk England, Singapura, Perancis, China dan Indonesia.

Festival yang juga acara tahunan itu sekali gus dapat mempromosi destinasi pelancongan di Johor, katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata tema festival kali ini “Perkongsian Bersama Komuniti” menekankan peranan komuniti untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan seiring dengan semangat Muafakat Bangsa Johor.

“Ia simbolik yang bermaksud kegembiraan dan keriangan untuk dikongsikan bersama seiring dengan konsep Muafakat Bangsa Johor…membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Tee berkata lebih 200 gerai jualan akan dibuka sepanjang festival itu yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan usahawan Johor.

Festival kali ini juga menjalin kerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi penganjuran Festival Layang-Layang Malam Johor Bahru di kawasan lapang pusat beli-belah Angsana pada 27 dan 28 Feb, katanya.

Beliau berkata sebahagian peserta antarabangsa akan terlibat dalam festival dua hari itu sebelum berangkat ke Satun, Thailand untuk menyertai festival sama di sana. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial