FILEM BRAVO LIMA SUNTIK SEMANGAT PATRIOTIK

KL41_020915_BRAVO

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berharap filem Bravo Lima akan dapat meningkatkan semangat patriotik dan mengukuhkan lagi perpaduan semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, aspek perpaduan antara kaum yang dibawa oleh watak komando tentera menentang pengganas komunis dalam filem aksi yang digarap berasaskan kisah benar itu mampu membawa mesej patriotisme kepada penonton.

"Filem Bravo Lima adalah kisah sebenar misi sulit pasukan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyelamatkan seorang tawanan dan menggagalkan rancangan komunis menakluki Kedah pada 1989," katanya pada majlis pelancaran filem itu di GSC Signature, The Garden Mall di sini malam tadi.

Majlis pelancaran filem itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zulkifeli berkata, Ahmad Zahid memuji filem tersebut kerana mempunyai ciri-ciri patriotik yang sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan rakyat Malaysia.

"Saya harap selepas menonton filem ini, rakyat Malaysia tidak hanya meletakkan tanggungjawab menjaga keamanan negara kepada ATM sahaja, sebaliknya turut membantu ATM dalam menjaga keharmonian yang dikecapi negara hari ini," kata Zulkifeli.

Turut berangkat menyaksikan tayangan ialah Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Filem tersebut diterbitkan oleh Karya Prima Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh M Hitler Zami, manakala skrip ditulis oleh Mejar Zainal Hayat yang menampilkan lakonan mantap Remy Ishak, Beto Kusyairy, Sofi Jikan, Xavier Fong dan Normah Damanhuri.

Sementara itu pada majlis yang berasingan, penggiat filem tanahair diminta untuk menghasilkan lebih banyak karya berbentuk sejarah dalam memupuk semangat patriotik di kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, penggiat filem di negara ini dilihat lebih banyak menghasilkan karya bergenre seram dan cinta.

"Melalui pembikinan filem berbentuk sejarah, ia dapat memupuk semangat kasihkan negara di kalangan generasi Y," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Sepuluh kategori dipertandingkan pada festival filem berkenaan, antaranya kesan khas terbaik, pereka kostum/busana terbaik serta lagu tema terbaik. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial