Formula CTI + PCI Lonjakkan Prestasi Penjawat Awam

anggotakhidmatawam

PENJAWAT awam memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat. Mereka adalah nadi dalam jentera yang menggerakkan agenda pembangunan dan transformasi negara. Mereka perlu memiliki integriti dan menguruskan pentadbiran pada tahap terbaik. Penjawat awam juga perlu komited untuk menambahbaik dasar dan kemampuan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat selain berupaya mencerminkan peranan serta tanggungjawabnya.

Justeru, antara intipati ucapan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, pada majlis amanat bersama kakitangan awam baru-baru ini, adalah berkenaan Inisiatif Memodenkan Perkhidmatan Awam Johor, sekali gus bukti bahawa penjawat awam di negeri ini perlu melakukan penambahbaikan dalam pelbagai perkara seperti perancangan, penguatkuasaan, tadbir urus, pelaksanaan dasar, etika dan prosedur kerja demi meraih kepercayaan serta keyakinan rakyat.

Johor mempunyai 14,722 orang penjawat awam. Mereka bernaung di bawah institusi seperti Jabatan Kerajaan Negeri, anak syarikat kerajaan dan badan berkanun. Jumlah penjawat awam di bawah institusi Kerajaan Persekutuan di Johor pula 78,159 orang.

Merungkai semangat, iltizam dan inisiatif ini, Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Obet Tawil berkata memodenkan perkhidmatan awam secara menyeluruh memerlukan pembaharuan dari segi kualiti dan mutu kerja supaya lebih efisien dalam menangani isu melibatkan jabatan kerajaan.

Beliau berkata, sebagai contoh penggunaan sepenuhnya aplikasi internet dalam melakukan proses pendaftaran pemilikan tanah sudah diperkenalkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor.

Katanya, penggunaan kemudahan media maya untuk berhubung seperti facebook, twitter dan lain-lain juga membantu terutama bagi rakyat menyalurkan persoalan atau permasalahan yang mereka alami.

“Ia lebih memudahkan pengguna untuk berhubung dengan jabatan, kerana kadangkala talian telefon mengalami masalah.

“Memodenkan perkhidmatan awam juga bermaksud menyediakan perkhidmatan awam yang lebih telus dalam penyampaian, mampu bersaing dengan service-provider lain dari segi kualiti dan bebas dalam membuat keputusan dan pelaksanaan tugas namun masih lagi amanah dan profesional,” katanya.

Beliau berkata, prinsip Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) – Productivity, Creativity and Innovation (PCI) yang disarankan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuai dijadikan sebahagian dari amalan dan pegangan semua penjawat awam sebagai usaha menyemarakkan lagi sistem penyampaian berprestasi tinggi yang berteraskan rakyat dan pelanggan.

Katanya, gabungan CTI dan PCI yang dipacu oleh kreativiti dan inovasi mencerminkan proses pembaharuan yang perlu dilaksanakan oleh perkhidmatan awam seiring pendekatan seamless dan engagement yang menjadi fokus kerajaan pada masa ini.

“Inisiatif ini akan melahirkan satu pasukan perkhidmatan awam yang akan menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat dan menjadi tenaga yang akan membantu masyarakat dalam segala aspek,” katanya.

Dato’ Obet mengulas, bagi menyokong permodenan seperti pelaksanaan sistem pengurusan yang baharu, setiap kakitangan perkhidmatan awam mesti mempunyai keberanian untuk berubah dan mencuba cara pendekatan penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dalam memenuhi kehendak pelanggan masa kini.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak proses inovasi diketengahkan oleh penjawat awam dan memberi impak besar kepada penjimatan masa dan wang ringgit.

“Ia dapat dicapai hasil daripada kerja kreatif dan inovatif yang akan membantu mempermudahkan urusan kerja di samping mendidik penjawat awam supaya tidak takut melakukan pembaharuan dan inovasi serta mengaplikasikannya dalam organisasi,” katanya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi dan bertaraf kelas pertama dan ia cukup kritikal dalam menangani perubahan pantas yang berlaku dalam persekitaran global masa kini.

“Jentera pentadbiran kerajaan perlu mempunyai kapasiti dan keupayaan yang tinggi untuk menjayakan pelan dan program yang dirancang.

“Penjawat awam juga perlu menghayati dan menanam sikap yang positif berteraskan etos kerja bagi memperkasakan keupayaan mentadbir dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan berkesan,” katanya.

Tegas beliau, setiap anggota perkhidmatan awam perlu bersatu teguh serta memperkukuhkan saf dalam mendepani segala kemungkinan yang bakal dihadapi.

“Selaku tonggak yang menunjangi agenda transfomasi negara, mereka juga perlu bersedia mendakap paradigma baharu dan budaya kecemerlangan dalam usaha melonjakkan prestasi negara di persada global.

Semua penjawat awam disaran menjauhi sikap:

  • Lemah
  • Malas
  • Longlai
  • Lembab
  • Tidak bermaya

Sebaliknya, jadilah generasi penjawat awam yang:

  • Bersemangat waja.
  • Berwawasan dengan cara hidup sihat.
  • Mengimplimentasikan inovasi dan kreativiti dalam setiap aspek perkhidmatan.
  • Mempunyai sifat keterbukaan dan mampu bercampur gaul.
  • Memahami permasalahan rakyat dan meletakkan diri di tempat rakyat.
  • Sanggup turun padang meninjau keadaan dan permasalahan secara hands-on.
  • Boleh bermusyawarah, berbincang serta menerima dan mendengar pendapat masyarakat
  • Mempunyai sifat insaniah, bersimpati, kekitaan dan kemanusiaan.
  • Mampu menjalin kerjasama erat bersama jabatan-jabatan lain, pihak swasta dan badan bukan kerajaan seperti ‘Strategi Lautan Biru’.

 

“Dengan memperkasakan etika dan sahsiah mereka dengan sifat-sifat murni ini maka saya yakin perkhidmatan kerajaan di negeri Johor ini dapat dipermoden serta diperkasakan selaras kehendak dan harapan YAB Menteri Besar,” katanya.

Ditanya bagaimana anggota perkhidmatan awam boleh melaksanakan proses dan pendekatan baharu iaitu Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro Rakyat dan Muafakat Johor, Dato’ Obet berkata, pembangunan Pro-Rakyat merujuk kepada di mana anggota perkhidmatan awam perlu meletakkan kepentingan masyarakat dahulu.

Muafakat Johor pula adalah inisiatif Menteri Besar Johor untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Johor melalui sukan, program gotong-royong serta perkongsian kemakmuran ekonomi.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi kepada anggota perkhidmatan awam Johor serta berharap usaha dan kesinambungan dalam aktiviti pentadbiran kakitangan awam negeri yang menitikberatkan kepentingan sains, teknologi, inovasi dan ICT dalam segala bidang yang diberi perhatian.

Katanya, empat perkara itu adalah antara kunci utama kepada penjanaan kemajuan negeri masa kini dan akan datang kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerajaan malah mampu meningkatkan hasil kerajaan.

Selain itu, beliau turut menekankan supaya semua penjawat awam berfikir secara luar biasa di luar kotak kelaziman untuk menyampaikan perkhidmatan lebih berkualiti yang dapat memenuhi kehendak dan memberi kepuasan kepada pelanggan tanpa mengenepikan peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Penjawat awam perlu menjadi pekerja yang berprestasi tinggi. Untuk itu, mereka perlu kreatif mencari kaedah-kaedah baharu dalam melaksanakan sesuatu,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial