Galas Amanah Sebaik Mungkin – Khaled

SIMPANG RENGGAM, 14 Mac – Semua anggota kakitangan kerajaan di setiap lapisan diingatkan supaya menggalas tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata kes-kes kebelakangan ini wajar menjadi peringatan kepada semua bahawa tindak tanduk mana-mana individu kini amat mudah untuk dipantau dan dinilai oleh semua.

“Atas sebab itulah saya berlapang dada dengan apa yang berlaku. Dalam zaman ini, banyak mata yang memandang, banyak yang pandai sosial media.

“Mereka yang diberikan amanah perlulah laksanakannya dengan sebaik mungkin kerana apa pun yang kita buat, pastinya kita takkan terlepas daripada pandangan dan pemerhatian masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja seharinya ke Parlimen Simpang Renggam di Kampung Paya, Layang-Layang di sini.

Ujar beliau lagi, dalam usaha menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan, perlu dipastikan bahawa elemen-elemen salah laku sentiasa diperangi habis-habisan.

Sementara itu, Khaled turut bertegas bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam soal warga pekerja asing menjalankan perniagaan.

“Saya memang tidak setuju kerana warga asing ini diambil atas alasan untuk dijadikan pekerja dalam industri dan sebagainya.

“Tiada sebab untuk mereka terlibat dalam perniagaan,” katanya, sambil menambah arahan telah dikeluarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk PBT Pengerang supaya langsung tidak berkompromi dalam soal ini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial