Gelandangan di Johor Bahru ada kerja tetap

jauhar

KOTA ISKANDAR:  Mereka yang bekerja di Singapura dikenal pasti sebagai kumpulan utama gelandangan yang terdapat di bandaraya Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff berkata, hasil pemantauan, 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengemis dan kutu rayau di bandaraya itu mempunyai pekerjaan tetap di Singapura seperti pemandu lori, pekerja kapal, pekerja kilang, buruh binaan dan penjaga stor dengan pendapatan sebanyak SGD1000 hingga SGD2000 setiap bulan.

Katanya, kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk negeri lain seperti Sabah dan Sarawak dan bagi anak Johor, mereka mempunyai keluarga yang jauh dari bandaraya itu.

“Mereka menjadi gelandangan kerana beberapa faktor iaitu mempunyai majikan di Singapura, kekangan masa kerja yang ketat kerana menerima gaji berdasarkan jumlah jam bekerja.

“Selain itu memerlukan rehat seketika sahaja sementara menanti waktu untuk bekerja semula dan infrastruktur di Johor Bahru memberikan mereka kawasan untuk tidur seperti di kaki lima dan kawasan riadah,” katanya.

Katanya, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sudah menubuhkan Anjung Singgah sebagai rumah berlindung sementara untuk golongan gelandangan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaimi Salleh (BN-Kukup) berhubung rumah yang disediakan untuk gelandangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-13, di sini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial