Gelandangan Yang Bekerja Perlu Kemukakan Surat Majikan

Yb-Asiah-portrait
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff

ISKANDAR PUTERI, 24 April – Gelandangan yang mempunyai pekerjaan perlu membuktikannya dengan mengemukakan surat daripada majikan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekiranya mereka tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen, mereka akan diambil perintah sementara di bawah Seksyen 32  Akta Orang Papa 1977 dan akan ditempatkan di rumah Seri Kenangan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Johor yang ke 13 di sini, hari ini.

Tambah Asiah, JKM turut melakukan siasatan bagi menyemak sama ada gelandangan itu mempunyai waris atau tidak.

“Sekiranya mereka mempunyai waris, mereka akan dipulangkan kepada keluarga. Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai waris atau waris tidak dapat dihubungi, mereka akan ditempatkan di Desa Bina Diri untuk menjalani program pemulihan dan kemahiran,” katanya.

Sehingga Mac lalu, sebanyak 57 operasi ke atas gelandangan telah dilaksanakan dalam tiga peringkat, iaitu bersepadu, berjadual dan serta merta (ad hoc), dan telah berjaya menangkap 82 individu.

“Daripada jumlah tangkapan itu, 71 adalah warganegara, dan 11 bukan warganegara. Rentetan daripada operasi penguatkuasaan tersebut, semua kutu rayau dan gelandangan yang diselamatkan semasa operasi akan ditempatkan di Anjung Singgah untuk dibuat tapisan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial