Generasi muda bakal pemimpin masa depan

SKUDAI: Generasi muda Johor bukan hanya sekadar menjadi ‘pemerhati jauh’ sebaliknya mereka adalah pewaris yang menjadi sandaran dalam memimpin negeri pada masa hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata generasi muda negeri harus menjadi detik nadi pembangunan bangsa yang seharusnya mencorakkan cerita dan perjalanan Johor.

“Sebaik sahaja saya dilantik mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, saya nekad melakukan sesuatu untuk membolehkan golongan muda di Negeri Johor menyumbang dengan efektif, menyumbang secara bermakna dan berterusan.

“Saya amat yakin. Jika dibimbing, diberi ruang dan peluang, diasuh dengan baik, saudara saudari akan menjadi pewaris bangsa yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Merasmikan Kongres Duta Jauhar di Universiti Teknologi Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, Program Duta Jauhar ini adalah salah satu daripada usaha untuk mengarus perdanakan peranan generasi muda membangunkan Johor.

"Program ini sangat penting kepada saya, kepada Johor dan kepada Malaysia. Pertama, kerana Johor Darul Takzim yang maju tidak harus terzahir hanya dengan Iskandar Malaysia, atau ribuan kilang baharu di Pasir Gudang atau Batu Pahat atau ratusan kilometer lebuhraya dan ribuan peluang pekerjaan baharu di Pengerang, atau keretapi laju Johor Kuala Lumpur. Bukan itu semua.

“Ianya harus terzahir lebih daripada pembangunan fizikal dan melangkui elemen-elemen KDNK dan kemajuan ekonomi semata-mata.Kita mahu orang Johor menjadi bangsa yang maju dan besar.Bangsa yang berperwatakan, mempunyai nilai dan rasa tanggungjawab yang kukuh serta dilengkapi dengan jati diri dan ketahananyang luar biasa,” katanya.

Katanya, adalah penting untuk semua menyedari bahawa setiap rakyat mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada negeri dan negara.

“Bagi saya jalan kehadapan memerlukan kita untuk menyedarkan setiap seorang daripada kita. Bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada Johor dan Malaysia.Bahawa hidup sebagai warganegara Malaysia dan anak Johor, akan kosong nilainya, jika tidak ada rasa kepunyaan dan kecintaan kepada negara dan negeri ini.

“Justeru, saya menyeru penggembelengan tenaga, usaha, pemikiran, idea, keringat setiap orang untuk kita bersama-sama membangunkan Johor dan Malaysia.Setiap warga, setiap penduduk, setiap jiwa. Setiap orang terutamanya golongan mahasiswa Johor.Kerana kita tidak boleh menjadi apa yang saya panggil ‘a walk-on-by society’. Iaitu masyarakat yang hanya tunggu-dan-lihat, yang hanya terima-dan-sebat.

“Saya amat yakin, bahawa kejayaan ekonomi kita, kemakmuran bangsa kita, akan jauh lebih bermakna jika semua mereka yang pintar, yang bijak, yang terpelajar, memberi sebanyak-banyaknya kepada bangsanya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial