Generasi Muda Main Peranan Laksanan Visi Negara

LEDANG: Generasi muda diingatkan supaya menjadikan tanggungjawab melaksanakan visi negara yang masih belum selesai sebagai kekuatan diri bagi menjiwai semangat patriotisme dan menjadi patriot yang sejati.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, selama ini pelbagai pihak menyeru supaya generasi pelapis supaya sentiasa mempunyai perasaan
cinta kepada negara tetapi tidak pernah memberi alasan yang kukuh mengapa rakyat Malaysia perlu mencintai negara ini dengan sepenuh jiwa mereka.

“Justeru, pada hari ini saya terpanggil untuk memberikan alasan itu dan alasannya hanyalah satu iaitu kita perlu mencintai Malaysia dengan sepenuh jiwa kita kerana kita mempunyai tanggungjawab yang masih belum selesai untuk melaksankan visi kita bersama yang disebut sebagai Malaysia.

“ Kita semua adalah Malaysia. Kita semua sebenarnya dimiliki oleh bangsa dan negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri di Dataran Ledang, di sini.

Mohamed Khaled berkata, nilai-nilai patriotisme bukan sesuatu yang  boleh dibentuk begitu sahaja dan ia mempunyai musuh utama iaitu wujud dalam masyarakat sifat dan tindakan yang merugikan kehidupan bersama sebagai sebuah bangsa.

“Kegilaan materialistik, sikap tidak prihatin serta tidak mengambil endah kepada kepentingan bersama tetapi hanya mementingkan kepentingan peribadi, keluarga ataupun golongan tertentu perlu dielakkan kerana ia adalah sesuatu yang tidak patritotik,” katanya.

Katanya lagi, sambutan kemerdekaan yang dianjurkan pada setiap tahun bukan hanya untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu sendiri.

“Salah satu daripada mengisi ruang kemerdekaan itu ialah dengan menanam sifat kasih dan sayang kepada tanah air.

“Dan sifat kasih serta sayang kepada tanah air itu bukan setakat hanya mengibarkan bendera. Ia tidak mencukupi dengan hanya meraikan sambutan bulan kemerdekaan dengan perarakan yang gah dan sekadar riuh rendah serta sorak gembira laungan kemerdekaan.

“Hakikatnya rasa merdeka dan kasih serta sayang kepada negara itu harus berakar teguh di dalam fikiran dan sanubari kita dengan kegigihan dan rasa kepunyaan yang mendalam pada tanah air,” Jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri , Tan Sri Mohamad Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial