Gerakan Koperasi Instrumen Pertumbuhan Ekonomi

ISKANDAR PUTERI, 15 Julai – Gerakan Koperasi di Johor disaran untuk memainkan peranan sebagai gerakan yang berupaya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata gerakan koperasi juga perlu berupaya untuk menjadi instrumen ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada anggotanya.

“Koperasi perlu berupaya menjadi medium untuk anggotanya memanfaatkan peluang ekonomi menerusi penglibatan dalam industri yang dapat meningkatkan kesejahteraan.

“Malah, kesejahteraan itu juga dapat dicapai sekiranya koperasi mampu mengarusperdanakan peranan mereka seiring dengan kedudukan koperasi itu sendiri yang bersifat insklusif dan demokratik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-51, Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad, di Stadium Educity, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Abas Abu Bakar; Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad, Sabtu Basar dan Setiausahanya, Ibrahim Dato’ Ali.

Menurutnya, langkah Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad dalam memperkukuh gerakan koperasi adalah satu langkah bijak dalam mengukuh serta meningkatkan aset mereka.

“Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad berjaya meningkatkan nilai keseluruhan aset berjumlah RM66 juta pada tahun 2016 sekaligus menjadi koperasi terbaik di negeri Johor.

“Dengan kekuatan aset dan modal yang besar, serta pengumuman pemberian dividen sebanyak 6 peratus, ia sekaligus dapat memastikan para anggota mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Tambahnya, banyak lagi ruang dan peluang ekonomi di Johor yang mesti direbut dan dimanfaatkan oleh koperasi khususnya yang melibatkan keusahawanan sosial dan usaha meningkatkan kesejahteraan hidup para anggota.

Selepas 67 tahun sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1950, Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad masih kekal bertahan dalam memberi khidmat dan kemudahan kepada anggotanya, terutamanya aktiviti pembiayaan, yang merupakan antara mandat dan objektif utamanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah perniagaan Ar-Rahnu di Dataran Larkin dan perkhidmatan ‘homestay’ di Taman Universiti.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial