Gerakan Tukar MB Johor Memudaratkan

MB-Umno

Oleh Mohd Izani Mohd Zain

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan dakwaan wujudnya satu gerakan untuk menukar Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menganggap perkara itu mengarut dan membazir masa.

Khaled sendiri mengakui tidak tahu ada gerakan yang mahu menjatuhkannya. Semalam Khaled memberi kenyataan yang beliau turut tidak tahu sejauh manakah kebenaran gerakan itu. Sebaliknya, beliau komited untuk terus fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Besar.

Sehingga hari ini, Khaled mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan anak muda. Terbaharu, Presiden Mahasiswa Anak Johor, Mohd Syahrul Nizam Mohd Ariff dalam satu kenyataan menegaskan pemimpin mahasiswa Johor akan terus bersatu, menyokong dan sentiasa mempercayai kepimpinan Menteri Besar Johor. Sokongan ini amat signifikan kerana UMNO memerlukan kepercayaan dan dukungan anak muda.

Usaha menukar Menteri Besar Johor tidak akan memberi banyak manfaat kepada UMNO kerana ia perlu fokus memperkukuh kekuatan parti dan mendengar suara akar umbi. Pertembungan elit politik dalam UMNO tidak sepatutnya mengheret parti itu menimbulkan lebih banyak isu yang akhirnya boleh memecah belahkan dan melemahkan parti.

Aset UMNO

UMNO Johor adalah benteng kekuatan UMNO dan itu perlu dipertahankan, manakala Khaled adalah aset UMNO. Beliau adalah antara pemimpin UMNO yang rasional dan prihatin tentang masa depan parti dan mengakui perlunya parti itu bijak merancang arus perubahan politik. Tahun lalu, beliau melancarkan badan pemikir, iaitu Bait Al Amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor sebagai sumber rujukan UMNO Johor meneroka dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun strategik lebih berkesan dalam perjuangan UMNO.

Penubuhan Bait Al Amanah ini satu langkah strategik dalam usaha menarik penyertaan kumpulan profesional dan anak muda untuk mendekati sekaligus menyertai UMNO. Hal ini jelas membuktikan Khaled mempunyai visi dan misi untuk memperkukuh kedudukan UMNO dan bukan sebaliknya.

Setelah tiga tahun dilantik sebagai Menteri Besar Johor, Khaled telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membangunkan Johor sebagai negeri contoh yang mempunyai pelan pembangunan tersendiri. Ini boleh dilihat melalui gagasan Muafakat Johor, Johor Berkemajuan dan agenda pembangunan inklusif dalam memastikan pembangunan Johor benar-benar dirasai oleh rakyat.

Pengalaman Khaled yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini adalah kekuatan beliau menerajui Johor. Pengalaman beliau dalam konteks keusahawanan dan pengajian tinggi sebelum ini adalah nilai tambah untuk memimpin negeri selatan tanah air itu.

Pemimpin Berpengalaman Luas

UMNO tidak wajarnya menggugurkan pemimpin yang mempunyai rekod pencapaian yang baik seperti Khaled. Kekuatan UMNO tidak harus dipandang dari sudut politik dan kuasa semata-mata. Sebaliknya, melihat kepada peranan dan pembelaan UMNO kepada nasib rakyat. Bukankah kekuatan UMNO selama ini adalah baktinya kepada rakyat.

Selain itu, Khaled sentiasa memastikan hubungan yang baik antara Johor dan Kerajaan Pusat walaupun harus diakui terdapat cabaran dan pengaruh seperti kewujudan tokoh politik dari Johor, iaitu bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Khaled khususnya sentiasa memberi platform kepada Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri untuk memastikan sokongan terhadap UMNO dan Perdana Menteri sentiasa baik dan boleh diperkukuhkan.

Memimpin sebuah negeri yang bejiran dengan sebuah negara maju bukan perkara yang mudah. Persaingan dan pembangunan ekonomi menjadi taruhan utama. Kesempatan ini telah diambil oleh Khaled bukan sahaja untuk membangunkan Johor semata-mata tetapi memastikan pembangunan Johor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang dilancarkan oleh Perdana Menteri bulan lalu.

Sejak khabar angin untuk menggantikan Menteri Besar tersebar, Khaled tidak melatah. Ketenangan beliau menangani isu ini adalah kualiti perwatakan yang sewajarnya perlu ada pada pemimpin politik yang lain. Pengalaman politik yang diraih oleh Khaled selama ini telah menjadikannya seorang pemimpin politik yang matang. Malah, isu pengguguran Menteri Besar ini telah meningkatkan populariti Khaled sebagai seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat.

Fokus Kerja, Rakyat

Khaled juga seorang pemimpin politik yang setia. Walaupun ada cubaan untuk mengaitkan beliau dengan pemimpin atau individu yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Perdana Menteri, beliau tidak mahu membuang masa untuk bertelagah, sebaliknya mengutamakan kerja dan tangggungjawabnya kepada rakyat.

Apa yang jelas, usaha menukar atau menggulingkan Menteri Besar Johor adalah tidak relevan dan membawa lebih banyak kemudaratan kepada UMNO dan rakyat khususnya di Johor. UMNO mesti mengekalkan pemimpin yang kurang politiking tetapi mempunyai pemikiran dan idea yang strategik untuk membangunkan negara.

Sebarang usaha menukar Menteri Besar memerlukan restu istana. Hubungan yang baik antara Khaled dan Sultan Johor tidak memungkinkan pertukaran Menteri Besar boleh menjadi kenyataan. Wallahuaklam. – BERITA HARIAN

Penulis ialah Profesor Madya di Fakuti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial