Giliran Safee Tinggalkan JDT

safee-sali

 

JOHOR BAHRU 21 Dis. – Safee Sali menjadi bintang terbaharu meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan selepas juara Liga Super itu mengesahkan penyerang tersebut akan menyertai PKNS FC.

Bekas penyerang Selangor dan kelab Indonesia, Pelita Jaya itu mengikuti jejak Amri Yahyah, Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin yang terlebih dulu meninggalkan skuad Harimau Selatan untuk menyertai Melaka United serta Perak.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Safee Sali atas apa yang telah beliau lakukan selama ini untuk Kelab Bola Sepak JDT hingga kelab berjaya menjuarai tujuh piala setakat ini.

“Beliau masih sebahagian daripada keluarga JDT walaupun sudah tidak bersama lagi dan kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau bersama pasukan PKNS pada musim hadapan.

“Luaskan Kuasamu Johor,” kata Pengurus pasukan dan Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez dalam Facebook JOHOR Souththern Tigers, semalam.

Safee, 32, menyertai JDT pada 2013 dan telah membantu kelab itu merangkul dua gelaran Liga Super, Piala AFC dan Piala FA dalam tempoh tiga musim beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengumumkan pengambilan dua pemain import baharu ­JDT II iaitu Alex Smith dari Australia dan Nicolas Fernandez yang berasal dari Argentina.

Menurutnya, Smith merupakan pemain berpengalaman luas dan pernah bermain untuk Kelab Wellington Phoenix, FC Dallas, Sydney Olympic dan Negeri Sembilan.

Fernandez pula pernah bersama-sama Asteras Tripoli FC di Greece dan Mallorca dan Lorca FC Sepanyol.

“Saya telah membuat keputusan muktamad dan teruja mengalu-alukan kehadiran kedua-dua pemain profesional yang cemerlang.

“Pengalaman yang mereka perolehi sebelum ini diharap akan dapat memberi sumbangan besar dan menjadi panduan kepada ramai pemain muda yang sedang dibentuk dalam skuad JDT II,” katanya menerusi laman Fecebook itu. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial