Gubal polisi ekonomi ikut komposisi kaum – UMNO Johor


KUALA LUMPUR: UMNO Johor mencadangkan supaya dasar dan polisi ekonpomi yang akan digubal oleh kerajaan mestilah berdasarkan kepada komposisi kaum dan bukan lagi kepada kuota 30 peratus yang telah dipraktikkan selama ini.

Jurucakap Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr Adham Baba, berkata ia membolehkan bumiputera memperoleh lebih banyak pegangan ekuiti dan menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

“Selama ini kita sebenarnya hanya berebut dalam peratusan yang sama. Kenapa kita tidak berebut atau diberi peluang bersaing dengan mereka yang diletakkan di dalam kelompok 70 peratus yang dinikmati kaum-kaum lain?” katanya ketika mencadang usul ekonomi pada Persidangan Agung UMNO 2014 di sini semalam.

Katanya lagi, UMNO Johor juga meminta kerajaan menggubal dasar baharu yang dikenali sebagai Dasar Pembangunan Usahawan Nasional (DPUN) bagi member nafas baharu kepada program pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

“Dasar itu haruslah mempunyai strategi menyeluruh bagi membantu orang Melayu mendapat akses modal dari institusi kewangan dan modal teroka, akses kepada pasaran domestic dan global termasuk kaedah pemasaran dalam talian serta media sosial.

“Amat penting juga, aspek latihan dan bimbingan termasuk teknikal dan vokasional, kemahiran insaniah dan pementoran diusahakan, dan ini hendaklah mengambil kira keperluan ‘last mile’ untuk memenuhi permintaan dan pulangan pasaran kepada anak muda,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial